Anda di sini

Pendidikan diletakkan pada tahap tertinggi dalam agenda negara

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa meletakkan pendidikan pada tahap tertinggi dalam agenda negara, kata Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Beliau berkata, ia terbukti dengan adanya Kelas Dewasa Bagi Ibu bapa Murid Orang Asli dan Peribumi Sarawak dan Sabah (KEDAP) yang dilancarkan pada bulan Mac tahun 2008.

Katanya, kewujudan kelas berkenaan dilihat mencapai objektif dengan mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada masyarakat orang asli peribumi di negeri ini.

“Kejayaan peserta KEDAP dalam majlis konvokesyen hari ini (kelmarin) juga secara tidak langsung menaikkan dan menyumbang kepada peningkatan kadar literasi di negara kita.

“Saya percaya program ini akan menjadi pemangkin kepada iltizam dan kesungguhan untuk anak-anak dan generasi kita berjaya dalam bidang pendidikan pada masa akan datang,” katanya ketika ucapan sempena Majlis Konvokesyen kali ke-4 di Hotel Promenade, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah Datuk Masidi Manjun.

Musa berkata, kerajaan juga sentiasa menitik berat isu berkaitan bantuan serta kemudahan bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, selain menyediakan biasiswa kepada para pelajar, kerajaan turut menyalurkan peruntukan yang besar kepada sekolah-sekolah pelbagai aliran di negeri ini.

“Kita sedar bahawa pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan generasi modal insan yang cemerlang.

“Sehubungan itu, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan terus membantu untuk memartabatkan dan mengangkat pendidikan di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Jame Alip berkata, pihaknya juga sentiasa menyambut baik dasar serta perubahan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Katanya, ia termasuklah memberikan peruntukan sebanyak RM48,125 bagi pelaksanaan setiap program KEDAP di negeri ini bagi memberi keselesaan kepada peserta KEDAP untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas.

Di samping itu katanya, Unit Projek Khas Sekolah di Sektor Pengurusan Sekolah juga sentiasa mengadakan sesi pemantauan di setiap kelas KEDAP bersama pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah agar kelas itu berfungsi seperti yang sepatutnya.

Tambahnya, kerjasama erat daripada sektor-sektor lain juga tidak kurang pentingnya dalam menjayakan kelas-kelas KEDAP di negeri ini.

Terdahulu, seramai 450 peserta daripada 18 buah kelas KEDAP di seluruh Sabah menerima sijil tamat pembelajaran masing-masing pada majlis itu.

Majlis berkenaan diadakan bagi meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat orang asli peribumi di negeri ini.

Advertisement