Anda di sini

Misteri Manser

Advertisement
 The Life and Death of Bruno’ Manser untuk pembeli semasa pelancaran buku tersebut di Miri, kelmarin.

LANCAR: Suter menandatangani buku ‘Rainforest Hero: The Life and Death of Bruno’ Manser untuk pembeli semasa pelancaran buku tersebut di Miri, kelmarin.

Selepas 15 tahun, kehilangan Bruno Manser masih menjadi tanda tanya.

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Selepas 15 tahun, kehilangan Bruno Manser masih menjadi misteri sehingga kini kerana persoalan tentang keghaibannya hanya akan terjawab apabila mengetahui tempat dia berada jika masih hidup atau menjumpai mayatnya jika benar dia telah meninggal dunia.

Bagi penulis ‘Rainforest Hero: The Life and Death of Bruno Manser’, Ruedi Suter, misteri kehilangan Manser masih menjadi tanda tanya dan mungkin selama-lamanya kekal misteri.

“Saya akan memberitahu  jika Manser masih hidup atau sebaliknya. Namun sehingga kini saya sendiri tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku tersebut di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Menurut Suter, kehilangan Manser terus diselubungi pelbagai spekulasi dan misteri sejak hilang tanpa jejak pada 2000.

“Ada yang percaya Manser masih hidup dan bersembunyi di suatu tempat setelah gagal dalam misi dan perjuangan membantu komuniti Penan dan hutan hujan.

“Semua ini akan terjawab jika Manser muncul semula. Atau sekurang-kurangnya kita menemui tulang atau barangan peribadinya jika dia meninggal dunia,” katanya.

Suter menambah, adalah sesuatu yang sukar untuk seseorang dapat bersembunyi di dalam hutan untuk tempoh  15 tahun.

Sebaliknya jika bersembunyi di negara lain, ia juga mustahil untuk tidak dikenali atau diketahui orang awam.

Dalam usahanya menghasilkan buku berkenaan, Suter mengembara ke Baram dan mengumpul serta menjejaki Manser termasuk berjumpa dan menemu bual rakan Manser.

Mengulas mengenai spekulasi perkahwinan Manser dengan wanita Penan dan mempunyai keluarga di Baram, Suter yang juga seorang wartawan berpengalaman menambah, beliau tidak tahu kesahihan perkara tersebut.

“Saya tidak berjumpa dengan mana-mana anak Penan yang bermata biru dan mirip Manser sepanjang tempoh penyelidikan buku ini,” katanya.

Bekas Penghulu Penan James Lalo dari Long Lamai yang turut hadir semasa pelancaran buku itu turut mengakui tidak tahu status perkahwinan Manser ketika itu.

James memberitahu, dia kenal dan pernah berjumpa Manser beberapa kali tetapi dia tidak pernah menyebut perkahwinan dengan gadis Penan dan mempunyai keluarga.

“Sekiranya dia berkahwin, sudah pasti saya tahu kerana diberitahu penduduk Penan lain memandangkan ia perkara penting,” katanya

James menambah, dia difahamkan Manser sepatutnya berjumpa seseorang di Batu Lawi iaitu lokasi terakhir dia dilihat sebelum hilang pada 2000.

“Pada waktu itu saya dan penduduk Penan lain mengadakan operasi mencari Manser sebaik sahaja mengetahui kehilangannya. Kami menjejaki setiap langkah namun gagal menemui Manser.

“Kami tidak dapat mengeluarkan bukti sama ada Manser masih hidup atau sebaliknya.

“Kami tidak menjumpai mayat, pakaian atau barangan peribadinya. Kami tidak tahu dan buntu apa sebenarnya yang berlaku ke atas Manser,” katanya.

Advertisement