Anda di sini

Jawatankuasa masjid digesa cari idea baharu

Advertisement

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mencadangkan pemimpin jawatankuasa masjid di seluruh negeri mencari idea baharu dalam usaha melakukan inovasi agar aktiviti di masjid lebih kreatif dan inovatif.

Selain itu, beliau turut meminta semua pemimpin termasuk wakil rakyat dan pemimpin akar umbi agar sentiasa mendekati masjid dan memberi sokongan kepada sebarang aktiviti yang dijalankan di kawasan masing-masing.

“Setiap tahun, kerajaan telah membina banyak masjid di seluruh negeri di samping peruntukan besar untuk menperbaiki atau menaik taraf masjid-masjid sedia ada.

“Oleh itu, adalah tanggungjawab semua pihak, khususnya para pemimpin untuk mengimarahkan setiap masjid itu dengan mengajak generasi muda supaya datang ke masjid dan menyokong setiap aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.

Musa berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan pada Majlis Perasmian Karnival @ My Masjid Peringkat Negeri Sabah di Padang Bandaran Tawau, di sini malam kelmarin.

Pada masa sama, Musa turut menyarankan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang ingin mengadakan aktiviti di masjid agar memohon kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama dan pengurusan masjid berkenaan.

“Masjid bukan sahaja menjadi tempat beribadat semata-mata, tetapi seharusnya menjadi pusat komuniti dan medan penyatuan umat.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dilaksanakan Yayasan Dakwah Islamiyah (YADIM) itu, Musa berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi galakan serta bantuan apa sahaja untuk program seumpama itu.

“Saya yakin program ini akan membawa manfaat besar dalam meningkatkan tahap penghayatan rakyat kepada pembudayaan ilmu, meningkatkan ukhuwah dan perpaduan,” katanya. — Bernama

Advertisement