Anda di sini

Cadangan JPSPN beroperasi di Sabah akan dibentang di Kabinet negeri

Advertisement

TUARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah akan membentangkan cadangan untuk membenarkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) beroperasi di Sabah, ke Kabinet negeri tidak lama lagi.

Menterinya Datuk Hajiji Noor berkata cadangan itu antara lain akan melihat daripada segi akta dan undang-undang pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam untuk diterima seterusnya diguna pakai di negeri ini.

“Bagaimanapun, kita perlu mendapatkan kelulusan dan kebenaran kerajaan negeri. Namun, pendekatan ini akan dapat membantu menyelesaikan masalahpengurusan sampah dan sisa pepejal di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan produk Mesin Bio-Green, sebuah mesin berteknologi melupuskan sisa makanan buangan, keluaranSyarikat Milen Bio (Korea) Sdn Bhd, di sini semalam.

Mengenai produk Mesin Bio-Green, Hajiji secara prinsip menyambut baik cadangan syarikat itu agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah menggunakan mesin itu bagi menguruskan sisa buangan makanan berpunca dari restoran ataupun pasar.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu juga sudah menggunakan mesin pelupusan sisa makanan itu kira-kira tiga tahun dan kesannya amat menggalakkan.

Syarikat Milen Bio (Korea) Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang bekerjasama dengan Hana Teck C.O Ltd Company dan Gangwon Technology Holdings di Korea. — Bernama

Advertisement