Anda di sini

173 tangki air untuk rakyat empat buah kampung

Advertisement

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Datuk Hamisa Samat berkata, limpahan nikmat daripada kemajuan negara terus dirasai oleh rakyat menerusi pelbagai bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, hasil daripada kejayaan dan kemajuan ekonomi yang dicapai negara, segala hasil itu dikongsi bersama, terutama kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, menyedari kepentingan memiliki tangki penyimpanan air bersih dalam kalangan orang ramai di negeri ini, kerajaan menyediakan bantuan tangki 1Malaysia kepada rakyat di empat buah kampung dalam DUN Tanjong Batu.

Menurutnya, sebanyak 173 penerima daripada empat buah kampung menerima tangki air. Kampung-kampung terlibat ialah Kampung Kalabakan, Kampung Iban Merotai, Kampung Luasong dan Kampung Tanjong Batu, Tawau.

Hamisa yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat menegaskan bahawa, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa serius dalam mengambil berat kebajikan rakyatnya, tanpa diskriminasi kepada mana-mana kumpulan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Kerajaan akan memastikan setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat menikmati segala kemudahan serta kehendak dengan adil dan saksama.

“Ada di kalangan rakyat tidak kira kaum masih berhadapan dengan masalah seperti kemiskinan, tiada rumah yang selesa untuk diduduki.

“Sekiranya kita ada azam, tekad dan pendekatan yang inovatif, kita boleh beri sesuatu kepada rakyat,’’ katanya.

Beliau menggesa pemimpin masyarakat agar sentiasa turun padang mendengar keluhan serta masalah masyarakat supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan sebaik mungkin.

“Dengan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan melalui konsep turun padang, ia diyakini dapat menawan hati masyarakat.

“Di samping itu, saya juga berharap perhatian serius perlu diberikan dengan sentiasa menghadiri apa juga majlis rasmi sama ada di peringkat daerah mahu pun negeri,” jelasnya.

Advertisement