Anda di sini

Kementerian Sumber Asli akan bincang dengan pihak negeri untuk jalankan pemetaan tanah – Wan Junaidi

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengadakan perbincangan bersama jabatan perhutanan negeri bagi menjalankan pemetaan dalaman tanah untuk melihat punca berlakunya tanah runtuh di sesuatu kawasan.

Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pemetaan itu akan dapat mengesan sebarang aktiviti yang menyebabkan tanah di kawasan yang berkenaan tidak dapat menakung air.

Menyedari hakikat pengurusan hutan tertakluk di bawah penguatkuasaan kerajaan negeri, Wan Junaidi berharap wujudnya kerjasama antara kementerian dan kerajaan negeri bagi mengawal aktiviti pembalakan.

“Kita lihat ada aktiviti yang boleh kita halang atas persetujuan bersama dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan ‘International Conference on Bridging Heart of Borneo (HoB) Landscapes and Beyond through Healthy Watershed Corridors’ dan Persidangan Ramsar Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 6.30 petang semalam menyebabkan kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata kementerian sedang merancang untuk menggubal Dasar Air Negara yang baharu sebagai langkah memastikan sumber air bersih negara sentiasa berterusan.

“Tidak kurang daripada 420 juta meter padu air hujan yang turun setiap tahun tetapi hanya 20 peratus daripada jumlah itu boleh digunakan secara berkesan di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Advertisement