Anda di sini

40 belia diperlukan untuk projek sukarelawan MYCorps di Kemboja

Advertisement
 Khairy bersama Rakan Pelaksana MYCorps dari EPIC Society, John-Son Oei pada majlis pelancaran program MYCORPS semalam. — Gambar Bernama

PELANCARAN: Khairy bersama Rakan Pelaksana MYCorps dari EPIC Society, John-Son Oei pada majlis pelancaran program MYCORPS semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sebanyak 40 belia diperlukan untuk program kesukarelawan antarabangsa, MYCorps bagi melaksanakan projek-projek komuniti di Kemboja pada Disember ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata permohonan yang dibuka bermula hari ini kepada belia Malaysia berumur antara 18 dan 30 tahun itu memerlukan mereka yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris dan memiliki pasport yang sah selama lebih enam bulan.

“Belia berminat boleh melayari laman web, www.mycorps.my untuk pendaftaran sehingga 20 Nov ini, dan mereka kemudian akan disaring sebelum menjalani projek rintis selama 14 hari di Kemboja bermula 7 Dis,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MYCorps, di sini semalam.

Khairy, bagaimanapun berkata belia yang dipilih terlebih dahulu akan menjalani latihan perkhidmatan MYCorps selama seminggu, untuk menyediakan mereka bagi pengerahan tugas di luar negara.

“Ini tidak terhad kepada latihan bantuan kecemasan, kemahiran membina, memupuk sikap kepimpinan dan mempelajari sejarah dan budaya negara yang akan dikunjungi,” katanya.

Katanya selesai misi dua minggu di negara terbabit, khidmat mereka akan terus digunakan jika diperlukan dan juga akan ditempatkan dalam pasukan Felo MYCorps bagi membantu melatih dan melahirkan lebih banyak pelatih pada masa hadapan.

Untuk tahun hadapan, menteri tersebut berkata 100 lagi sukarelawan akan dipilih untuk tujuan yang sama dan akan dihantar ke negara-negara sekitar ASEAN.

Bagaimanapun, Khairy berkata tugas MYCorps juga akan tertumpu dalam membantu dalam misi-misi sukarelawan di dalam negara jika diperlukan, terutamanya ketika misi bencana seperti banjir.

Program MYCorps, adalah inisiatif kementerian yang diterajui oleh ‘Extraordinary People Impacting Community (EPIC)’, sebuah badan yang menyediakan platform memfokuskan kepada pembangunan modal insan kepada masyarakat melalui pengalaman. — Bernama

Advertisement