Anda di sini

Mahkamah Anak Negeri masih relevan

Advertisement
 Teo (depan, dua kanan) berbincang dengan Richard (kanan) selepas Majlis Perasmian Bengkel Pengenalan Kepada Mediasi bagi Pemimpin-Pemimpin Daerah Kudat di Pejabat Urusetia Kudat, semalam. — Gambar Bernama

PERPADUAN: Teo (depan, dua kanan) berbincang dengan Richard (kanan) selepas Majlis Perasmian Bengkel Pengenalan Kepada Mediasi bagi Pemimpin-Pemimpin Daerah Kudat di Pejabat Urusetia Kudat, semalam. — Gambar Bernama

Ia memelihara adat resam yang masih diamalkan masyarakat peribumi Sabah, Sarawak

KUDAT: Kewujudan Mahkamah Anak Negeri masih relevan dalam usaha menjaga perpaduan, identiti dan adat resam setiap komuniti di Sabah dan Sarawak, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.

Beliau berkata kedua-dua negeri itu dianggarkan mempunyai empat hingga lima juta populasi masyarakat peribumi yang masih mengamalkan adat resam sejak turun-temurun.

“Adat resam sesuatu komuniti itu perlu dipelihara dan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pengenalan kepada Mediasi bagi pemimpin-pemimpin masyarakat Kudat di sini semalam.

Bengkel dua hari bertemakan ‘Menyatupadukan Desa Untuk Perpaduan Negara’ dirasmikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor.

Malanjum yang juga Presiden Mahkamah Rayuan Anak Negeri berkata walaupun Mahkhamah Anak Negeri adalah institusi yang mengadili kesalahan-kesalahan adat, namun setiap permasalahan timbul dalam kalangan komuniti perlu diselesaikan secara mediasi.

Menurut Malanjum, sehingga kini sebanyak 40 kes dari Mahkhamah Anak Negeri sedang dibicarakan di Mahkamah Rayuan Anak Negeri melibatkan kes keluarga, tanah dan fitnah.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Mahkamah Anak Negeri diberi peranan penting dan setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Malanjum bersama Hakim Mahkamah Rayuan Anak Negeri Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun turut menyampaikan ceramah mengenai mediasi pada bengkel itu.

Terdahulu, Teo berkata bengkel itu julung kali diadakan di Sabah dan Kudat dipilih sebagai daerah pertama bagi menjalankan bengkel yang dihadiri lebih daripada 60 pemimpin peringkat kampung.

Dengan adanya bengkel itu, ia mampu memberi pendedahan kepada pemimpin di peringkat kampung menyelesaikan masalah tanpa melibatkan perbicaraan di Mahkamah Anak Negeri, katanya.

Sementara itu, Presiden Pusat Sumber Adat dan Mediasi Kaum Anak Negeri Sabah (PUSAKA) Puan Sri Charlene Jintoni berkata bengkel itu akan dijalankan secara berterusan ke setiap daerah di Sabah. — Bernama

Advertisement