KOTA MARUDU: Kawasan utara berpotensi menjadi hab ekopelancongan yang mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung kerana ia mampunyai banyak kawasan menarik dan unik.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, sebuah jawatankuasa perlu diwujudkan bagi merancang dan melaksana pembangunan pelancongan di daerah ini sebagai ekopelancongan hijau.
“Kawasan utara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna, kepelbagaian etnik dan budaya serta hidupan marin mempunyai daya tarikan sendiri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu ketika merasmikan Pesta Kota Marudu, di sini.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Tandek Datuk Anita Baranting, Pegawai Daerah Sualim Sanan serta pemimpin setempat dan badan bukan kerajaan.
Maximus berkata, pelbagai usaha dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pengunjung bertandang di kawasan utara.
Katanya, Kota Marudu mempunyai kawasan bakau kedua terbesar di Sabah dengan keluasan kira-kira 10,000 hektar, pantai, 60 spesies burung yang hampir pupus, mamalia dan reptilia yang hanya mengambil masa dua jam perjalanan dari ibu negeri.
“Seperti pelbagai perayaan sebelumnya, Pesta Kota Marudu bukan sahaja menekankan kepelbagaian budaya etnik daerah ini tetapi promosi untuk produk pelancongan dan pertanian.
“Pesta Kota Marudu lebih dikenali sebagai Pesta Jagung dan merupakan peluang yang baik untuk mempromosikannya sebagai daya tarikan pelancongan,” katanya.
Pada pesta itu, pelbagai acara telah dilaksanakan seperti persembahan kebudayaan, pertandingan lagu klasik, pertandingan tanglung, ratu cantik, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta pameran oleh pelbagai agensi.
Tahun ini, Yayasan Hijau yang ditubuhkan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air turut mengadakan karnival mini yang melibatkan 400 pelajar sekolah menengah bagi mendidik dan menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup hijau dan penggunaan teknologi.
Maximus berkata, usaha yayasan itu mendekati masyarakat akar umbi adalah penting untuk menjadi sesuatu kawasan itu ‘hijau’.
“Menjadikan Kota Marudu sebagai mesra alam adalah sebahagian daripada rancangan untuk membangunkan daerah itu kepada hab ekonomi utara Sabah melalui pembangunan mampan,” katanya.