KENINGAU: Lebih 5,000 penduduk di 17 kampung di Mukim Dalit di daerah ini bakal menikmati pembangunan daripada kerajaan sebaik sahaja kerja menaik taraf Jalan Ansip-Dalit-Kahaba, sejauh 44 kilometer dijangka siap akhir tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, projek naik taraf jalan raya berkenaan menelan kos hampir RM200 juta kesemuanya yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan pengaspalan Jalan Ansip-Dalit-Kahaba di Dewan SLDB Kampung Dalit, di sini kelmarin.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, dengan pelaksanaan projek naik taraf jalan itu nanti akan membawa pelbagai pembangunan berkaitan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat di Mukim Dalit, antaranya memperkasa sektor pendidikan, perkhidmatan rawatan kesihatan, peluang meningkatkan sosioekonomi dan sebagainya.
“Kerajaan hari ini amat prihatin dan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan dan pembangunan golongan masyarakat khususnya bagi mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya.
Sementara itu, rata-rata penduduk di Mukim Dalit menyambut baik usaha pihak kerajaan membangunkan kawasan luar bandar yang amat memerlukan prasarana pembangunan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi.
Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Dalit Sokilim Andamat berkata, projek naik taraf jalan berkenaan merupakan satu penantian penduduk kampung sejak sekian lama di mukim itu.
“Dengan naik taraf jalan raya itu nanti, sudah tentu akan memudahkan agensi kerajaan berkaitan memberi khidmat kepada masyarakat setempat di sini berbanding sebelum ini,” katanya.
Manakala seorang penduduk Kampung Malaing Dalit, Jaffar Rapan merakamkan peghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan atas keprihatinan terhadap keperluan rakyat di luar bandar.
“Projek naik taraf jalan raya itu juga mampu meningkatkan lagi aktiviti sosioekonomi penduduk setempat di Mukim Dalit terutamanya dalam memasarkan hasil pertanian ke Pekan Keningau.
“Pada masa dahulu, penduduk kampung sukar untuk ke Pekan Keningau kerana apabila hujan lebat jalan raya ini akan menjadi becak dan licin, ia amat berbahaya kepada keselamatan para pengguna jalan raya,” katanya.
Hadir sama pada program itu ialah Puan Sri Melinda Kurup, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Primus Takom, Ketua Polis Daerah Keningau DSP Douglas Nyeging Taong dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup.