Anda di sini

Kawasan Perlindungan Penuh akan diperluas

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah berada dalam landasan untuk meluaskan saiz Kawasan Perlindungan Penuh (KPP) kepada 30 peratus daripada keluasan tanah negeri dalam tempoh sedekad lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau melahirkan rasa gembira berikutan setakat ini 21 peratus tanah negeri telah diwartakan sebagai KPP, menjadikan ia terbaik di Malaysia dan serantau.

Katanya peratusan tersebut melangkaui sasaran 10 peratus Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar dan sasaran 17 peratus pelbagai jenis ekosistem Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

Musa berkata demikian semasa merasmikan ‘International Conference on Bridging Heart of Borneo (HoB) Landscapes and Beyond through Healthy Watershed Corridors dan Sabah’s Ramsar Conference’, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah penasihat Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) Bhd, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi TRCRC Bhd Tun Jeanne Abdullah dan Pengarah Jabatan Hutan Sabah Datuk Sam Mannan.

Musa menegaskan kerajaan negeri melalui jabatan hutan komited kepada inisiatif HoB, malah menyediakan empat juta hektar tanah negeri yang meliputi hutan ekosistem tanah tinggi dan pedalaman.

“Inisiatif itu sejajar dengan misi jabatan hutan mematuhi prinsip kelestarian pengurusan hutan dan pemuliharaan kepelbagaian bio,” jelasnya.

Beliau menambah kejayaan lain yang dicapai oleh Sabah dalam kerja-kerja pemuliharaan ialah Konvensyen Ramsar mengenai tanah paya membabitkan enam tapak Ramsar di Malaysia; dan Tanah Paya Hilir Kinabatangan-Segama merupakan yang terbesar meliputi tiga hutan simpan.

Mengenai persidangan itu ketua menteri Sabah itu berkata, ia menjadi platform kepada peserta mengenal pasti sinergi terhadap insisiatif yang sedia ada berkaitan pemuliharaan kawasan legeh dalam lingkungan koridor ekologi dari landskap Hob kepada laut.

Persidangan dua hari itu dihadiri peserta antarabangsa dan tempatan yang meliputi Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara dan pengenalan kaedah bidang kuasa Perakuan Kelestarian Kelapa Sawit

Pada majlis itu Musa turut menyaksikan majlis menandatangani surat niat antara jabatan hutan dan pihak tempatan dan antarabangsa sebagai usaha membentuk institusi pengurusan dan pemuliharaan ekosistem alam sekitar di Sabah.

Beliau turut menerima replika cek RM12 juta dari jabatan hutan yang diperoleh dari Jualan Lelong Balak Deramakot yang merupakan hasil daripada julat keuntungan sekurang-kurangnya 80 peratus. — Bernama

Advertisement