Anda di sini

Jabatan Perikanan cadang perkenal kad akses pada semua nelayan laut dalam

Advertisement

MELAKA: Jabatan Perikanan bercadang untuk memperkenalkan kad akses yang akan digunakan semua nelayan laut dalam usaha memantau pergerakan dan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata penggunaan kad berkenaan yang dijangka pada awal tahun hadapan juga bertujuan mengurangkan ketirisan ikan di jeti pandaratan di dalam negara.

“Kad ini akan merekodkan jadual keluar masuk nelayan di jeti pendaratan ikan di negara ini menggunakan sistem imbasan yang akan dipantau oleh ibu pejabat.

Ia lebih mudah berbanding mengisi borang untuk melaporkan aktiviti keluar masuk nelayan dan lebih sistematik,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Tahunan Pegawai Kanan Jabatan Perikanan Tahun 2015 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail berkata usaha itu juga bagi memantau sebilangan nelayan laut dalam yang dikesan melanggar peraturan perikanan negara dengan menjual hasil tangkapan ke negara jiran.

Beliau juga berkata pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di empat jeti terpilih di negara ini termasuk Jeti Tanjung Manis di Sarawak, Jeti Pelabuhan Kuantan di Pahang, Jeti Tok Bali di Kelantan dan Jeti Kuala Perlis di Perlis dalam masa terdekat.

“Pemasangan CCTV ini juga bagi memantau jumlah pendaratan ikan di jeti berkenaan dan ia akan diperluaskan di semua jeti pendaratan ikan di seluruh negara,” katanya.

Katanya pihaknya juga akan menguatkuasakan dari segi dasar pengeluaran lesen perikanan kepada kira-kira 600 nelayan baharu agar tidak disalahgunakan.

Ismail berkata langkah itu bertujuan mengekang tindakan sebilangan nelayan yang bersekongkol dengan orang luar untuk mengaut sumber tangkapan yang sepatutnya milik rakyat negara ini.

Sementara itu, beliau berkata persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin bertujuan merancang pelaksanaan projek perikanan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 secara lebih sistematik dan terperinci. — Bernama

 

 

Katanya persidangan melibatkan hampir 100 peserta terdiri daripada pegawai kanan jabatan berkenaan juga akan menilai semua pencapaian dan prestasi semua projek yang dilakukan pada tahun lepas. — Bernama

Advertisement