Anda di sini

Telur penyu: Terpulang pada Sabah ambil tindakan

Advertisement

KOTA KINABALU: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyerahkan kepada kerajaan Sabah untuk mengambil tindakan ke atas penganjur yang menghidangkan telur penyu pada majlis yang dihadirinya di Sandakan, Ogos lepas.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menjelaskan beliau sebagai tetamu pada majlis itu tidak terlibat dalam memesan makanan yang dihidangkan termasuk telur penyu iaitu haiwan terancam di negara ini.

“Terserah kepada Sabah untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Zon Pantai Barat Selatan Sabah di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika tindakan undang-undang harus diambil ke atas penganjur majlis itu yang menghidang telur haiwan yang dilindungi.

Menurut Ismail Sabri tetamu pada majlis itu mempunyai pilihan sama ada mahu makan makanan yang telah dihidangkan.

“Kita ambil contoh, tetamu beragama Hindu pada kenuri orang Islam yang mesti ada rendang daging lembu atau kari daging lembu.

“Biasanya orang Hindu tak makan daging lembu dan akan makan makanan lain.

Jadi, tak adil kalau kita salahkan dia kerana ada makanan daging lembu dihidangkan,” katanya.

Baru-baru ini, gambar menunjukkan Ismail Sabri bersama Ketua UMNO Bahagian Beluran Datuk James Ratib menikmati makan malam dengan telur penyu dihidangkan atas meja telah menjadi viral di media sosial.

Gambar itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di negeri ini.

Susulan penyebaran gambar itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam

Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata siasatan sedang dijalankan Jabatan Hidupan Liar Negeri.

Di Sabah, Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 memperuntukan denda RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika seseorang kesalahan memiliki haiwan yang dilindungi atau produk haiwan berkenaan, termasuk telur penyu. — Bernama

 

Advertisement