Anda di sini

Pupuk budaya sukarelawan bagi mendekati denyutan nadi rakyat

Advertisement
 Azizah menerima cenderahati daripada Al-Azmi.

TERIMA KASIH: Azizah menerima cenderahati daripada Al-Azmi.

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yakin budaya sukarelawan di negara ini mampu dipupuk.

Beliau berkata, tidak mustahil usaha itu dapat dicapai memandangkan anak-anak muda kini sudah bangkit melakukan kerja sukarelawan dengan sendiri di peringkat akar umbi.

“Walaupun banyak yang mengatakan bahawa membentuk budaya ini tidak mudah, tetapi jika kita berfikir ia boleh dilakukan maka ia akan berlaku.

“Saya juga penuh yakin kita akan mencapai usaha ini apatah lagi melihat anak-anak muda sudah bangkit melakukan kerja sukarelawan di peringkat akar umbi.

“Jadi tiada yang mustahil tetapi kita kena mulakan… saya ingin melihat negara kita ini dapat mewujudkan era baru sukarelawan kerana sebelum ini sukarelawan tidak begitu sinonim dengan negara kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Bengkel Kejurulatihan (TOT) Sukarelawan Jiwa 1Malaysia siri ke-3, di Grand Borneo kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, Azizah berkata kementeriannya menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM) turut mengambil peranan proaktif dengan memberikan penekanan kepada pembangunan sukarelawan di negara ini menerusi program latihan yang dijalankan kepada sukarelawan di seluruh negara.

Katanya, sebagai sebuah kementerian yang dekat dengan denyut nadi rakyat, pihaknya sentiasa berusaha menyemarakkan lagi semangat kesukarelawan dalam kalangan masyarkat di seluruh negara.

“Melalui aktiviti ini, sukarelawan berpeluang membantu kementerian khasnya dan negara amnya dengan menghulurkan bantuan pertolongan kepada masyarakat yang memerlukan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan juga semasa berlaku bencana seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata ISM telah memberi latihan asas kesukarelawan kepada seramai 9,078 sukarelawan yang didaftarkan di dalam pangkalan sukarelawan ISM.

Di Sabah katanya, seramai 2,337 sukarelawan telah diberi pendedahan dan latihan sukarelawan melalui program latihan anjuran ISM iaitu program ‘Outreach’ dan Bengkel Asas Kesukarelawan.

Hadir sama, Pengarah ISM Dr Al-Azmi Bakar dan tetamu kehormat lain.

 

 

Advertisement