KOTA KINABALU: Seorang penganggur didenda sebanyak RM2,000 atau penjara enam bulan, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya.
Majistret Stephanie Sherron Abbie mengenakan denda itu terhadap Bixton Tanandewan, 26, yang menendang mangsa berusia 21 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 27 Ogos tahun lalu jam 11.13 malam di kawasan pekarangan Transportation Kitobu, Kionsom, Inanam, di sini.
Bixton didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau dengan kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, satu laporan dibuat oleh pengadu yang mengatakan dicederakan suaminya.
Menurutnya, tertuduh ingin membawanya pulang ke rumah, namun beliau enggan kerana masih bekerja.
Oleh kerana itu, tertuduh kemudiannya bertindak menendang pengadu sehingga jatuh dan mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan.
Dalam rayuan, peguam Farazwin Haxdy dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) meminta tertuduh hanya dikenakan denda.
Menurutnya, kejadian terbabit berlaku kerana isteri tertuduh enggan balik bersamanya pada malam itu.
Tambahnya, tertuduh kini tidak bekerja dan mempunyai seorang anak yang masih kecil berada dalam tanggungannya.
Sementara itu, mahkamah menetapkan pada 7 Disember depan untuk pengakuan diambil daripada seorang lelaki yang didakwa atas pertuduhan sama.
Mahkamah membuat keputusan itu terhadap Kubatun Nur, 39, sementara menunggu laporan perubatan mangsa disediakan.
Tertuduh mengaku bersalah mencederakan seorang wanita berusia 37 tahun, pada 4 November lalu jam 1 petang, di sebuah rumah Taman Makmur, Luyang, di sini.
Kubatun diberikan ikat jamin sebanyak RM3,000 yang dicagarkan oleh dua penjamin tempatan oleh mahkamah sehingga kes selesai.
Kedua-dua pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Cif Insp Lim Swee Beng.