Anda di sini

Jenazah mangsa kemalangan selamat dikebumi

Advertisement

RAUB: Empat beranak termasuk seorang kanak-kanak yang maut selepas kenderaan mereka bertembung dengan lori muatan sawit petang kelmarin, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sengkela di sini, semalam.

Mustapa Kamal Mohamad, 61, berkata urusan pengebumian isterinya Nor Asiah Abdul Aziz, 53, anak perempuannya Mas Hanum Mustafa, 31, dan suami Sukri Sempol, 30, serta anak mereka Muhammad Aqil Danish, 3, selesai kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Beliau yang merupakan pesara tentera berkata isterinya ada mengajaknya untuk ke Bukit Fraser, namun ditolaknya menyebabkan mereka mengubah rancangan untuk ke Kuantan.

“Saya tahu mereka terlibat kemalangan apabila dihubungi orang awam yang berada di tempat kejadian, dan saya cuba untuk menghubungi Mas Hanum, Sukri dan Nurul Hidayah namun tiada jawapan.

“Saya hubungi semula orang awam itu dan terus bergegas ke tempat kejadian di Jengka untuk melihat sendiri keadaan mereka dan menguruskan jenazah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau juga berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang membantu urusan pengebumian keluarganya.

Sukri, Mas Hanum, Nor Asiah dan Muhammad Aqil Danish maut selepas kereta Proton Saga yang dipandu Sukri terbabas dan merempuh lori muatan sawit dari arah bertentangan di Kilometer 44 Jalan Maran-Sungai Jerik, Maran semasa dalam perjalanan dari Raub ke Kuantan. — Bernama

 

Advertisement