Anda di sini

Bebas selepas enam bulan dalam tahanan Abu Sayyaf

Advertisement

 Thien kelihatan ceria selepas kembali ke pangkuan keluarga di Sandakan pada Isnin.

SELAMAT: Thien kelihatan ceria selepas kembali ke pangkuan keluarga di Sandakan pada Isnin.

SANDAKAN: Setelah enam bulan menjadi tebusan kumpulan bersenjata Abu Sayyaf di Selatan Filipina, Thien Nyuk Fun, 50, yang merupakan salah seorang mangsa culik di restorannya telah dibebaskan.

Pengurus Restoran Ocean King itu merasakan pengalaman pahit sepanjang menjadi tebusan kumpulan bersenjata itu berakhir.

Apa yang diinginkannya buat masa ini adalah berehat dan bersama anggota keluarganya.

Beliau berharap agar dapat menjalani kehidupan yang tenang bagi memulihkan diri daripada pengalaman yang paling pahit dilaluinya ketika menjadi tawanan kumpulan bersenjata yang melarikan beliau dari restorannya menggunakan bot ke dalam hutan di Selatan Filipina.

Thien yang diculik pada 15 Mei lepas dibebaskan hampir tengah malam Ahad apabila kumpulan bersenjata Abu Sayyaf menyerahkannya kepada pihak perunding Malaysia dan Filipina.

Beliau telah diculik bersama seorang warga Sarawak, Bernard Then, 39, di Restoran Ocean King pertengahan bulan Mei lepas.

Thien kemudiannya dibawa balik ke Sandakan dengan menaiki bot laju dan bertemu dengan keluarga kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

Salah seorang saudara kepada Thien berkata, buat masa ini dia dalam keadaan sihat dan hanya mahu berehat.

“Thien hanya mahu bersama keluarga pada masa ini dan berehat,” katanya

Katanya, Thien kini bersama dua orang anak dan ibunya di rumah mereka selepas enam bulan tidak bersama.

Difahamkan, Thien telah pergi ke sebuah klinik swasta di Batu 4 bagi menjalani pemeriksaan ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata mangsa selamat tiba di Sandakan kira-kira jam 10 malam Ahad lepas dan kini sudah bersama ahli keluarganya di Sandakan.

“Keadaan mangsa sihat tetapi masih lemah dan letih disebabkan jarak perjalanan yang jauh serta aspek emosi. Mangsa mengharungi perjalanan yang sangat jauh melalui jalan darat di beberapa buah pulau.

“Beliau juga melalui jalan laut dengan menggunakan bot laju dari kawasan Jolo Sulu yang mengambil masa kira-kira 6 jam sebelum tiba di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pihaknya masih meneruskan usaha untuk menyelamat dan membebaskan seorang lagi mangsa culik iaitu Bernard Ghen Ted Fen, 39.

Pada 14 Mei lepas kira-kira jam 7.40 malam, Thien bersama Bernard yang bekerja sebagai konsultan elektronik di Kemboja diculik di restoran makanan laut Ocean Kings di Jalan Batu Sapi Sandakan.

 

 

Advertisement