Anda di sini

Tahap kematangan politik golongan muda membimbangkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tahap kematangan politik dalam kalangan golongan muda adalah membimbangkan kerana kebanyakan mereka belum mempunyai pengetahuan politik yang mencukupi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata kebanyakan daripada mereka hanya bertindak sebagai pasukan sorak atau penyokong atas pagar dengan sekadar membaca, melihat dan mendengar di laman-laman sosial seperti Facebook dan YouTube.

Beliau turut mempersoalkan sama ada golongan muda membuat justifikasi yang tepat hanya dengan merujuk kepada media sosial sebagai sumber pengetahuan politik.

Menyedari hakikat bahawa golongan ini ‘berdarah muda’ dan sentiasa menganggap mereka betul, Noor Sulastry Yurni berkata adalah lebih baik sekiranya mereka memantapkan ilmu dalam bidang berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai senario politik negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN 2015 (AYWLC) di sini, semalam.

Menurut pensyarah sosiologi itu, kebanyakan daripada golongan belia yang sentiasa mahukan perubahan dalam landskap politik negara atas alasan sudah muak dengan parti pemerintah, sebenarnya belum mempunyai pengetahuan politik yang mencukupi.

“Sebagai contoh, ada yang marah apabila GST (cukai barang dan perkhidmatan) dilaksanakan hanya kerana ia melibatkan Barisan Nasional sebagai parti yang memerintah, sedangkan ada antara mereka sendiri tidak tahu maksud GST.

“Namun, adakah golongan ini yakin perubahan yang diingini boleh menjadi kenyataan sekiranya berlaku perubahan kepada sistem pentadbiran negara?” katanya.

Beliau berkata jika golongan muda benar-benar sudah matang dalam pengetahuan politik, mereka akan memperjuangkannya secara bersungguh-sungguh dengan menyertai sesebuah parti politik.

Menyentuh mengenai aspek kepimpinan dalam kalangan belia, Noor Sulastry Yurni menyarankan Pergerakan Puteri UMNO supaya bertindak lebih agresif untuk mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan wanita muda.

Noor Sulastry Yurni berkata tindakan itu dapat membuka peluang kepada golongan yang berkebolehan untuk sama-sama terlibat untuk memantapkan sistem pentadbiran negara.

Sekiranya mahukan lebih ramai penglibatan wanita dalam sistem pentadbiran negara, Puteri UMNO perlu berusaha untuk mencari pemimpin-pemimpin muda yang berbakat dan mempunyai aspirasi tinggi.

“Namun pada masa sama, wanita muda juga perlu keluar dari kepompong, serlahkan bakat kepimpinan yang ada dan tidak hanya menunggu peluang datang dengan sendiri,” katanya.

Persidangan dua hari yang bermula semalam disertai lebih 500 peserta dalam kalangan wanita muda dari negara-negara ASEAN dengan pelbagai latar belakang.

Ia bertujuan memperkasakan pemimpin wanita muda dalam bidang pelbagai bidang khususnya ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya. — Bernama

 

Advertisement