Anda di sini

Sabah catat katarak tertinggi

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah mencatat jumlah pesakit tertinggi mengalami masalah penglihatan akibat katarak (penyakit selaput mata) di Malaysia.

Ketua Jabatan Bahagian Mata Dr Sheena Alexander berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 33,000 pesakit di Sabah mengalami masalah penglihatan akibat katarak.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 7,800 atau 70.9 peratus telah mengalami buta akibat ketarak dan memerlukan pembedahan katarak dengan segera.

“Bagaimanapun, 20.9 peratus daripada jumlah itu tidak mahu pembedahan dilakukan kerana takut,” katanya sambil menambah, Sabah mencatat tiga teratas di negara ini yang takut menjalani pembedahan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran ‘World Sight Day’ di Oceanus Mall, kelmarin.

Menurut Sheena, kebanyakan pesakit katarak di Sabah adalah daripada kawasan luar bandar kerana kurangnya kesedaran mengenai penyakit terbabit.

Selain itu katanya, ia turut disumbang oleh faktor kewangan di mana 34.3 peratus tidak mendapatkan rawatan berkenaan kerana masalah kewangan selain menghadapi masalah pengangkutan.

“Justeru, orang ramai perlu mengambil peluang untuk menjalani pemeriksaan mata secara percuma yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan bersama badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Dalam pada itu, Lion Club (Region 4) Sabah dengan kerjasama Hospital Queen Elizabeth dan Persatuan Orang Buta Sabah mengadakan projek ‘Bringing quality eye care service’ kepada golongan yang memerlukan.

Projek itu juga melibatkan pemeriksaan penglihatan, sumbangan cermin mata, program penjagaan kesihatan mata, dan juga pembedahan katarak kepada yang mengalami masalah penglihatan.

Hadir sama bagi menyempurnakan pelancaran majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid.

 

 

Advertisement