Anda di sini

Rang undang-undang pinda nama JPAM ke Kabinet dalam tempoh terdekat

Advertisement

BEAUFORT: Kertas cadangan rang undang-undang bagi meminda nama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kepada Angkatan Pertahanan Awam akan dibentangkan di Kabinet dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan berkata kertas cadangan rang undang-undang lain di bawah kementeriannya yang turut akan dibentang di Kabinet ialah Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya rang undang-undang berkenaan dirangka bagi memperkukuh peranan kedua-dua institusi itu.

“Rang undang-undang untuk JPAM itu perlu memandangkan ia mempunyai lebih daripada 865,000 anggota sukarelawan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir, di Dewan Kampung Suasa, kira-kira 25 kilometer dari Pekan Beaufort di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samad, Anggota Dewan Undangan Negeri Lumadan Datuk Kamarlin Ombi dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.

Mengenai persiapan menghadapi banjir, Shahidan berkata pihaknya sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai dijadikan sebagai pusat pengumpulan makanan yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah yang sering dilanda banjir bagi memudahkan proses bantuan segera apabila diperlukan.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) juga sudah bersiap sedia menghadapi musim banjir dengan aset yang mencukupi untuk digunakan.

Apa yang penting mulai dari sekarang kata Shahidan ialah pemimpin komuniti perlu bersedia menghadapi kemungkinan banjir di kawasan masing-masing. — Bernama

Advertisement