BEAUFORT: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses pembinaan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di daerah ini.
Katanya, sehingga kini belum ada sebarang kerja pembinaan dilakukan walaupun sebuah tapak di satu lokasi telah disediakan bagi tujuan berkenaan.
Justeru, beliau meminta pihak berkaitan seperti kerajaan negeri serta pegawai dearah untuk mendapatkan status terkini berhubung sebuah pusat rekreasi khusus untuk golongan warga tua itu.
“Saya difahamkan pusat berkenaan seharusnya siap pada tahun ini, namun saya sendiri tidak nampak ada sebarang perkembangan berhubung projek itu. Oleh itu, saya minta pegawai dearah untuk mendapatkan kedudukan terkini projek terbabit.
“Saya khuatir jika ia dilengah-lengahkan nanti, maka kos bagi membina pusat itu akan meningkat dan mungkin akan menyukarkan lagi pembinaannya mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Warga Emas dan Hari Kanak-Kanak peringkat Parlimen Beaufort di Dewan Pa’ Musa, kelmarin.
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, sejumlah RM900,000 diperuntukkan bagi membina sebuah PAWE di satu lokasi iaitu berhampiran dengan Mahkamah Syariah Daerah Beaufort.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut bercadang untuk mewujudkan 222 buah PAWE iaitu sekurang-kurangnya sebuah di setiap kawasan Parlimen di negara ini.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengunjurkan bahawa Malaysia akan mengalami status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mencecah 15 peratus daripada keseluruhan populasi.
“Sehubungan itu, Malaysia perlu bersiap sedia mulai sekarang untuk menghadapi fenomena penuaan penduduk di negara ini,” katanya.