Anda di sini

Malaysia duduki tangga ke-5

Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad remaja kebangsaan menduduki tempat kelima selepas menewaskan Thailand 3-1 dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2015 (Piala Suhandinata) di Lima, Peru pada Ahad lalu.

Sebelum ini, pasukan negara menewaskan Hong Kong 3-0 manakala Thailand menumpaskan Denmark 3-1 pada aksi pertama perlawanan penentuan tempat kelimakelapan, demikian menurut laman sesawang kejohanan www.bwflima2015.com.

Pada perlawanan menentang Thailand, M. Thinaah/ Tan Jin Hwa meletakkan Malaysia di depan, dengan 1- 0 mata, selepas mengalahkan Pornpawee Chochuwong/ Kantaphon Wangcharoen 21- 17, 21-15 dalam acara beregu campuran.

Bagaimanapun, Adulrach Namkul kemudian menyamakan kedudukan selepas memperolehi kemenangan dalam persaingan sengit menentang pemain perseorangan lelaki negara Yeoh Seng Zoe dengan 21-16, 22-24 dan 21-8.

Skuad remaja kebangsaan kembali mendahului selepas Aaron Teng Fong Chia/Goh Sze Fei menewaskan Mek Narongrit/Krit Tantianankul 21-15, 21-13 dalam acara beregu lelaki, sebelum Goh Jin Wei mengesahkan mata kemenangan dengan keputusan 21-13 dan 21-16 ke atas Supanida Katethong dalam acara perseorangan wanita.

Sementara itu, juara bertahan China terus menguasai perlawanan dengan merangkul gelaran juara untuk kali ke-10, selepas menewaskan Indonesia 3-0.

Kemenangan China ini umpama ulangan perlawanan akhir tahun lalu yang diadakan di Alor Setar, Kedah.

Skuad remaja Negara Tembok Besar itu merupakan pasukan terkuat pada kejohanan berkenaan dan berjaya merangkul kejuaraan sebanyak sembilan kali – 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2009, 2010, 2012 dan 2014. — Bernama

 

Advertisement