Anda di sini

Kementerian rancang hantar 260 OKU jalani latihan di Jepun

Advertisement

KOTA BAHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merancang menghantar 260 Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menjalani pelbagai latihan di Jepun pada tahun depan.

Ketua Setiausahanya Datuk Sabariah Hassan berkata antara latihan yang dirancang melibatkan bidang komunikasi dan pengendalian mesin.

“Ia selaras dengan dasar kerajaan yang mahukan penglibatan sebanyak satu peratus golongan itu dalam perkhidmatan awam.

“Semakin ramai golongan ini yang mendapat pendidikan tinggi, namun disisihkan daripada mendapat pekerjaan kerana majikan tidak memahami keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Komunikasi@USM-YOKUK di Yayasan Orang Kurang Upaya Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabariah turut meminta ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya berdaftar dengan kementerian.

Beliau berkata ia bagi memudahkan penyaluran pelbagai bantuan kepada mereka, termasuklah insentif RM14,000 dalam bidang pendidikan seperti yang diperuntukkan dalam Bajet 2016 baru-baru ini.

“Sehingga kini, sebanyak 150,000 OKU telah berdaftar di seluruh negara dan kami percaya ramai lagi yang belum berbuat demikian, sekali gus menyukarkan kementerian untuk memberi bantuan kepada golongan ini,” katanya. — Bernama

 

Advertisement