Anda di sini

ATM turut bantu dalam usaha ekopembangunan

Advertisement

 Raime (tengah), Anuar (kiri) dan Sukimin (kanan) memotong reben sebagai simbolik perasmian bekalan air paip graviti yang telah siap dibina untuk penduduk kampung.

EKOPEMBANGUNAN: Raime (tengah), Anuar (kiri) dan Sukimin (kanan) memotong reben sebagai simbolik perasmian bekalan air paip graviti yang telah siap dibina untuk penduduk kampung.

TENOM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan sejagat, keselamatan dan kedaulatan negara akan tetapi turut membantu pihak kerajaan dalam usaha ekopembangunan.

Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, berkata sebagai salah satu agensi kerajaan, ATM merupakan antara agensi yang digunakan oleh pihak kerajaan di dalam pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk sama-sama membangunkan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Majlis Penutupan Gotong-Royong Jiwa Murni (PJM) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Penduduk Kampung Sugiang Tengah, Sugiang Ulu dan Sugiang Baru di Kampung Sugiang Tengah, Sabtu lalu.

Raime berkata, gotong-royong Program Jiwa Murni (PJM) yang dilaksanakan oleh ATM dengan kerjasama penduduk kampung dan Parlimen Tenom adalah satu usaha murni yang amat berharga kepada penduduk.

“Program gotong-royong yang julung-julung kali diadakan itu merupakan satu usaha murni oleh agensi kerajaan bagi membantu masyarakat menyediakan kemudahan asas kepada penduduk kampung seperti projek bekalan air graviti kepada tiga kampung yang terlibat.

“ATM bukan sahaja menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara malah mereka dapat menyumbang bakti bagi sama-sama berkhidmat untuk masyarakat yang memerlukan di pedalaman dalam membangunkan negara.

“Inilah antara pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam mengurangkan jurang perbezaan di antara kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan kemudahan asas kepada penduduk kampung,” katanya.

Turut hadir di majlis itu, Panglima Markas Briged Kelima Infantri Malaysia Brigadier Jeneral Dato Pahlawan Haji Mohd Anuar Rijaludin, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong Jasli Tindi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kemabong Sukimin Rukini, Ketua Daerah, Mahkamah Anak Negeri dan Daerah Kecil Kemabong, OKK Andayol Ampuli, serta para pegawai kanan ATM, ketua jabatan dan penduduk tiga kampung yang terlibat.

Di pada itu, Raime berkatamelalui program itu ia dilihat secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sillaturahim di antara ATM dan masyarakat setempat.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi membantu masyarakat luar bandar dengan kerjasama agensi kerajaan.

“Kita juga berharap kerajaan akan meneliti kembali Perjanjian Malaysia 1963 untuk memastikan Sabah dan Sarawak dapat membangun bersama-sama Semenanjung,” katanya.

Raime turut menyarankan agar masyarakat sentiasa menghargai pengorbanan anggota tentera dalam menjaga kedaulatan negara dan pentingnya kerjasama serta kesefahaman dalam kepimpinan di antara penduduk kampung.

Seramai 85 anggota tentera termasuk pegawai telah terlibat dalam Program Jiwa Murni itu bersama penduduk Kampung Sugiang Tengah, Sugiang Ulu dan Sugiang Baru.

 

 

 

Advertisement