Anda di sini

Aktiviti ceroboh pencawang elektrik kembali aktif di Tawau

Advertisement

TAWAU: Aktiviti pencerobohan pencawang elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilaporkan kembali aktif di daerah ini sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM200,000.

Mengikut kenyataan media SESB di sini kelmarin, kerugian itu direkodkan semenjak bulan lepas melibatkan tujuh kes pencerobohan pencawang elektrik di daerah ini.

Lokasi-lokasi kegiatan pencerobohan terbabit yang kembali aktif pada Oktober lalu itu dikenal pasti berlaku di sekitar kawasan Jalan Apas dan Jalan Tawau Lama.

Utusan Borneo difahamkan, kegiatan menceroboh pencawang elektrik SESB di daerah ini dilaporkan ‘tenang’ sepanjang 2015 sehinggalah aktiviti itu dikesan kembali aktif pada bulan lepas.

Berikutan itu, orang ramai diminta sensitif terhadap sebarang kegiatan pencerobohan pencawang elektrik di daerah ini kerana situasi itu bukan hanya merugikan SESB.

Sekiranya situasi terbabit tidak dibendung segera, kesan buruk turut diterima oleh khalayak pengguna kerana mengakibatkan gangguan bekalan elektrik terputus.

SESB berkata, pihak mereka akan meningkatkan lagi kawalan dan rondaan di pencawang-pencawang elektrik di daerah ini untuk mengelak situasi sama berterusan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang penangkapan suspek penceroboh pencawang elektrik dilakukan dan orang awam diminta menjadi mata dan telinga SESB.

Pada masa sama, warga Tawau diminta sensitif serta menjadi mata dan telinga SESB untuk membendung kegiatan sedemikian daripada terus berleluasa.

Khalayak pengguna boleh menghubungi talian 088-282455 sekiranya terlihat individu mencurigakan berlegar-legar atau berada di dalam kawasan pencawang elektrik.

 

 

Advertisement