Anda di sini

Bekerjasama sebagai pasukan kuat untuk bangunkan negeri

Advertisement

SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menekankan kepentingan untuk segenap lapisan rakyat bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat dan mantap ke arah membangun dan memajukan negeri ini.

Menurutnya, selaku Ketua Menteri, beliau tidak boleh membangunkan negeri ini secara sendiri tanpa sokongan dan kerjasama dari setiap peringkat masyarakat.

“Anggota kabinet, wakil rakyat, pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin akar umbi, badan bukan kerajaan serta semua lapisan rakyat. Ertinya mesti ada gabungan ini untuk kita bekerjasama dan berusaha untuk membangunkan Sabah.

“Berikutan itu, selalu ditekankan mesti ada perpaduan dan kesepakatan yang mantap untuk kita semua boleh bekerjasama. Jangan berselisih faham dan sekiranya ada, ia perlu diselesaikan dengan secepat mungkin kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada kita.

“Saya selalu tekankan, perpaduan, kesetiaan kepada pemimpin dan kerjasama adalah penting untuk memastikan kita hidup dalam aman, damai dan sentosa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Ketua Menteri Sabah Bersama Pemimpin Masyarakat Zon Sandakan di Dewan Serbaguna Sri Libaran di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berkata, perkara itu amat penting dalam usaha memastikan pembangunan di Sabah terus berjalan lancar tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Menurut beliau, pihaknya sedar kerajaan terus bekerja dan berikutan itu beliau sering meminta wakil-wakil rakyat untuk turun ke bawah bagi berjumpa pemimpin-pemimpin akar umbi dan rakyat agar mereka dapat mengetahui masalah yang dihadapi dan seterusnya mencari jalan untuk mengatasinya.

“Meskipun sudah banyak pembangunan yang dibawa, namun masih banyak lagi kemudahan yang rakyat perlukan. Berikutan itu, kita mestilah mempunyai perancangan yang teratur supaya ada perubahan dan peningkatan setiap tahun dalam membangunkan negeri ini.

“Oleh itu, penting bagi wakil-wakil rakyat untuk mengetahui sebarang keperluan yang diperlukan oleh rakyat di kawasan masing-masing. Dan, sebab itulah wujudnya pemimpin-pemimpin masyarakat ataupun UPPM,” jelasnya.

Terdahulu, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk Japlin Akim berkata, perhimpunan itu merupakan siri jelajah yang dianjurkan oleh UPPM untuk semua lima zon di Sabah iaitu Zon Sandakan, Zon Tawau, Zon Pedalaman, Zon Pantai Barat Utara dan Zon Pantai Barat Selatan,yang disasarkan dilaksanakan sebelum 2018.

“Program ini menjadi landasan untuk bertemu dengan pemimpin akar umbi bagi menyampaikan nasihat maklumat dan penjelasan mengenai isu serta dasar-dasar kerajaan selain ceramah berkaitan isu-isu penting mengikut keperluan kawasan masing-masing,” katanya.

Majlis perhimpunan itu dihadiri hampir 1,000 pemimpin akar umbi termasuk UPPM, Ketua-Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Dalam Bandar (JKDB) dan Kapitan-Kapitan Cina.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malleh; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang; Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Michael Asang; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Masiung Banah; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; Pembantu Menteri Kewangan; serta barisan pemimpin tempatan.

Advertisement