MENGORAK LANGKAH: Arifin (dua kiri) menyampaikan sijil kepada seorang murid Tadika JHEAINS pada Mini Konvokesyen Gabungan 13 Tadika JHEAINS peringkat Negeri Sabah. Turut kelihatan, isterinya Datin Lenny Natasha Musa (dua kanan) dan Pengarah JHEAINS Abd Halim Nayan (kiri) serta pegawai JHEAINS lain.
KOTA KINABALU: Pembinaan Sekolah Agama Negeri (SAN) baharu pada masa akan datang perlu menyediakan sekurang-kurangnya dua bilik darjah untuk menempatkan Tadika JHEAINS.
Ia seiring usaha meningkatkan penyelarasan antara SAN dan Tadika Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Arifin Mohd Arif berkata memandangkan hanya terdapat 16 sahaja Tadika JHEAINS di seluruh negeri, maka usaha sedang diambil untuk meningkatkan jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, pembinaan SAN baharu yang akan menempatkan Tadika JHEAINS itu akan dibina berdasarkan keperluan semasa.
“Kita akan berbincang bersama JHEAINS dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengenai cara mengembangkan pembinaan tadika ini. Setakat ini, tadika kita belum sampai 20 buah.
“Inilah sebabnya kita menyelaraskan pembinaan SAN baharu supaya dapat menyediakan kelas atau bilik darjah menempatkan Tadika JHEAINS,” katanya diminta mengulas mengenai penyelarasan SAN dan Tadika JHEAINS di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mini Konvokesyen Gabungan 13 Tadika JHEAINS, peringkat Negeri Sabah, di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini kelmarin.
Ariffin yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal agama Islam negeri berkata, buat masa ini, mereka merancang membina SAN di Pulau Banggi dan beberapa kawasan lain.
Katanya, antara tadika yang baharu siap adalah SAN Kampung Pimping, Membakut dan tadika itu turut menyediakan sebuah kelas untuk menempatkan Tadika JHEAINS.
Mengenai perancangan pembinaan SAN pada tahun hadapan, beliau berkata pembinaan SAN akan dilaksana berdasarkan permintaan dan keperluan di satu-satu kawasan.
Oleh itu katanya, dengan kewujudan Jawatankuasa Halatuju Pembangunan Pendidikan Hal Ehwal Agama Islam Negeri yang akan diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah dan Muis, sebuah makmal akan diwujudkan bagi membolehkan kajian dilakukan untuk mengenalpasti keperluan berkaitan dalam pembinaan SAN di Sabah.
Pada majlis itu, Arifin menyampaikan sijil kepada 415 murid dari 13 Tadika JHEAINS di seluruh Sabah.