Anda di sini

Banjir kilat melanda KK dan Penampang

Advertisement

 Salah seorang penduduk terpaksa mendayung menggunakan penyapu akibat banjir kilat berhampiran kawasan Minintod Inanam.

TIADA PILIHAN: Salah seorang penduduk terpaksa mendayung menggunakan penyapu akibat banjir kilat berhampiran kawasan Minintod Inanam.

KOTA KINABALU: Hujan lebat bermula kira-kira jam 1 petang kelmarin mengakibatkan beberapa kawasan sekitar bandar raya dan daerah Penampang dilanda banjir kilat.

Beberapa kawasan jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan dalam tempoh beberapa jam akibat paras air yang tinggi.

Kawasan berkenaan antaranya Jalan Likas, Kolombong, Putatan serta Penampang.

Selain itu, laluan di kawasan perumahan dan perkampungan sekitar Penampang juga mengalami banjir kilat.

Pegawai Daerah Penampang Luvita Koisun berkata, keadaan banjir kilat itu hanya berlaku dalam tempoh beberapa jam.

Menurutnya, banjir kilat di kawasan yang terlibat semakin surut kira-kira jam 4.30 petang.

“Antara kawasan yang dilanda banjir kilat seperti laluan di hadapan Perpustakaan Penampang dan Jalan Nambazan kembali surut pada jam 4.15 petang.

“Setakat jam 6 petang, kawasan Jalan Kibabaig Penampang masih ditenggelami air namun boleh dilalui kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan di kawasan yang dilaporkan mengalami banjir kilat.

Beliau berkata, terdapat beberapa kawasan di Pekan Donggongon dan kampung sekitar Penampang mula dinaiki air selepas hujan lebat.

Kawasan terbabit jelasnya, dilaporkan mengalami paras air yang agak tinggi selepas hujan lebat hingga mengakibatkan berlakunya banjir kilat.

 

 

Advertisement