Anda di sini

Rela perlu siap siaga apabila diperlukan, kata Nasrun

Advertisement

LAHAD DATU: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu terus siap siaga sebaik diperlukan kerana mereka amat dekat dengan ahli komuniti setempat.

Ahli Parlimen Silam Datuk Nasrun Mansur berkata, keahlian anggota RELA dan transformasi yang dilakukan kerajaan dalam jabatan itu amat diperlukan masyarakat khususnya apabila berlaku krisis mahupun bencana.

“Anggota RELA amat dekat dalam kalangan kita dan mereka ini akan lebih awal mendapat maklumat terutama apabila berlaku krisis mahupun bencana di perkampungan.

“RELA yang mempunyai hubungan yang dekat dengan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan organisasi berkaitan yang lain akan memudahkan peranan menjadi ‘mata dan telinga’ dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Pengenalan dan Perkhemahan Tahunan Rela Daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna Bagi Tahun 2015 di Borneo Paradise, di sini kelmarin.

Menurut Nasrun, masyarakat perlu menyingkirkan tanggapan negatif terhadap pasukan RELA kerana mereka merupakan pasukan profesional sejajar dengan kedudukannya sebagai sebuah pasukan sukarelawan yang menjadi jabatan kerajaan.

Katanya, latihan memperkasakan kemahiran untuk melaksanakan tugasan dan tanggungawab mereka bukan sahaja apabila mereka diperlukan malah kelebihan mereka dalam menangani krisis mahupun bencana diiktiraf semua pihak.

Sementara itu, Pengarah RELA Negeri Sabah TPjR Samsudin Lawe berkata setiap anggota RELA yang baharu akan didedahkan kepada kursus Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) supaya lebih berpengetahuan tentang falsafah, nilai teras, etika tradisi, budaya perundangan yang merangkumi peranan dan tanggungjawab jabatan.

“Sebanyak 156 platun CMT di seluruh negara telah berjaya ditubuhkan dalam usaha meningkatkan kreadibiliti sebagai ‘first responder’ sebarang krisis dan sebarang keperluan penugasan,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan Pegawai RELA Daerah Tawau PPjR Mohd Salleh Daud.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai RELA Daerah Lahad Datu PPjR Ramlan Marajan, Pegawai RELA Daerah Kunak PPjR Mohd Aiman Mohd Najib dan Pegawai RELA Daerah Semporna PPjR Risting Moturon.

Seramai 302 anggota yang menyertai program tiga hari dua malam itu menerima sijil penyertaan pada majlis yang disempurna Nasrun.

 

 

Advertisement