MENUMBOK: Para nelayan di negeri ini digesa mempelbagaikan produk berasaskan sumber laut yang ketika ini dilihat mampu menyumbang kepada ekonomi Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, tumpuan terhadap inisiatif itu penting kerana sektor berkenaan dilihat mampu meningkatkan sosioekonomi golongan berkenaan.
Katanya, nelayan juga perlu merubah minda ke arah mentransformasikan kerjaya mereka dengan mempertingkat ilmu dan kemahiran khususnya melibatkan aspek perniagaan dalam bidang tersebut.
“Selain mencipta produk baharu, golongan ini perlu meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan perniagaan supaya mampu berdaya saing dan tidak ketinggalan dalam persaingan pasaran.
“Pada masa sama, kerjasama semua pihak turut penting dalam usaha merangka strategi agar pelbagai aktiviti perikanan di negeri ini dapat digerakkan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Nelayan kali ke-15 di Pantai Mempakul, di sini kelmarin. Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin Karno.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Limus Jury, Pembantu Menteri Luar Bandar Datuk Nilwan Kabang dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.
Musa berkata, kerajaan menerusi kementerian bertanggungjawab akan terus berusaha mewujudkan pelbagai program dan inisiatif untuk memastikan golongan nelayan menikmati taraf hidup lebih baik.
Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa memberikan sokongan dan bantuan termasuk merangka perancangan jangka panjang dalam aktiviti perikanan bagi memastikan agenda itu tercapai.
“Justeru, saya minta kepada para nelayan supaya memanfaatkan sepenuhnya bantuan dan kemudahan disedikan kerajaan, seterusnya mengikis persepsi bahawa kerjaya dalam bidang perikanan tidak menguntungkan,” katanya.