Anda di sini

Jangan diskriminasi golongan OKU

Advertisement

BEAUFORT: Pengusaha hotel dan resort serta ejen pelancongan di negeri ini diharap tidak mengamalkan diskriminasi terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU), sebaliknya turut sama membuka peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran mereka

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berkata, golongan terbabit seharusnya diberi peluang pekerjaan kerana ia dapat membantu mereka menjalani kehidupan seperti insan biasa dan lebih bermakna.

“Pengusaha pelancongan diharap tidak mengamalkan diskriminasi, sebaliknya beri peluang lebih luas kepada OKU mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kemahiran dipelajari ketika pengajian di institusi pendidikan.

“Jika golongan ini telah menamatkan pengajian dan tidak diberi peluang kerja, bagaimana mereka mampu meneruskan kehidupan dan mempraktikkan kemahiran dipelajari itu?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyermpurnakan Majlis Pra Graduasi di Dewan Kolej Vokasional Beaufort (KVB), Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Kamarlin menyambut baik usaha kolej terbabit serta institusi lain yang telah menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang untuk OKU menerusi pendidikan khas yang diperkenalkan.

Katanya, inisiatif itu mampu memberi peluang kepada golongan terbabit untuk terlibat sama dalam beberapa kemahiran yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pelbagai industri di negeri Sabah.

Menurutnya, walaupun KVB belum menerima sebarang penyertaan daripada OKU setakat ini, namun inistitusi itu bertekad akan terus membuka peluang kepada golongan istimewa itu mendapatkan kemahiran di KVB.

“Bagaimanapun, saya difahamkan Kolej Vokasional Keningau telah mempunyai beberapa OKU yang mempelajari bidang kulinari, sekali gus menjamin masa depan golongan ini selepas tamat pengajian,” katanya.

Pada masa sama, Kamarlin turut menggesa sektor awam di negeri ini untuk memberi peluang sama kepada OKU berdasarkan kemahiran dan kelayakan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Ada antara kalangan OKU ini terdiri daripada golongan bijak pandai serta mempunyai kelulusan dalam pelbagai bidang sama ada daripada institusi kemahiran atau pun institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya yakin mereka mampu memenuhi kriteria, termasuk dapat melaksanakan tugas dengan baik sekiranya ditawarkan jawatan dan pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya.

 

 

Advertisement