Anda di sini

Loji tenaga elektrik kuasa gas dicadang di Sandakan

Advertisement

Penuhi permintaan tenaga elektrik di pantai timur Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mengemukakan cadangan pembinaan sebuah loji tenaga elektrik 380MW menggunakan kuasa gas di Sandakan kepada kabinet sebelum akhir tahun ini untuk mendapatkan kelulusan muktamad, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Di bawah cadangan itu, gas akan disalurkan dari Tuaran ke Sandakan melalui sistem paip, yang merentasi beberapa daerah, termasuk Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Beluran bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga elektrik di pantai timur Sabah.

Ongkili berkata cadangan itu diluluskan pada dasarnya oleh Majlis Ekonomi tetapi maklumat terperinci mengenainya diperlukan untuk dibentang kepada Kabinet bagi tindakan lanjut.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pertama Panel Perundingan Tenaga Sabah di sini semalam.

Panel itu ditubuhkan Suruhanjaya Tenaga sebagai inisiatif untuk membincangkan isu berkaitan status bekalan tenaga elektrik di Sabah dan sebagai platform untuk menyumbangkan idea serta cadangan kepada kerajaan dalam melaksanakan langkah praktikal dan berkesan dari segi kos untuk membekalkan tenaga elektrik di negeri ini. — Bernama

Advertisement