Anda di sini

Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan Pakej Umrah/Ziarah di Sandakan

Advertisement

SANDAKAN: Kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat di negeri ini menjadi antara punca tiada sebarang aduan berhubung penipuan pakej umrah dan ziarah dilaporkan, meskipun perkara seumpama itu pernah berlaku.

Berikutan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) giat menganjurkan Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan Kepada Orang Awam 2015 bagi memberi kesedaran dan pemahaman lanjut mengenai isu itu.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Sabah Ag Zaki Abu Bakar berkata, menerusi kempen sama yang dianjurkan di Keningau sebelum ini, pihaknya mendapati wujud kes penipuan pakej umrah/ziarah yang melibatkan peserta kempen itu sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata kurangnya kesedaran dan juga pemahaman membuatkan mereka tidak tahu untuk mengadukan perkara itu kepada pihak yang boleh membantu.

“Menerusi kempen ini, kita dapat memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung isu pengendalian umrah, pengenalan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), pelaksanaan lesen khas umrah dan cara-cara mengenali agensi pelancongan berlesen dengan KPK.

“Selain itu, kempen ini juga berkongsi dengan peserta mengenai isu kepenggunaan, muamalat dalam pakej umrah antara reda dan tanggungjawab mencegah kemungkaran serta isu penipuan pakej umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan Kepada Orang Awam 2015 Peirngkat Negeri Sabah di Hotel Ibis Style Sandakan, di sini kelmarin.

Lebih 100 peserta telah menghadiri kempen berkenaan yang dirasmikan oleh wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Gum-Gum Mohd Hamsan Awang Supain.

Untuk rekod, sebanyak 57 kes dilaporkan membabitkan agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah bagi tempoh 2012 hingga September 2015 dengan nilai kompaun/denda RM232,000.

Manakala, kes pemfailan tuntutan terhadap pakej umrah bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 3,025 dengan jumlah nilai tuntutan RM18,934,494.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan akan memperkenal Sub Lesen Khas Umrah kepada syarikat pengendali umrah/ziarah sedia ada.

Penolong Setiausaha Bahagian Pelesenan Pelancongan KPK Noor Hasrell berkata, inisiatif itu bagi memastikan pakej umrah yang dijual itu adalah dikendalikan oleh syarikat yang benar-benar berkemampuan sekali gus bagi mengurang dan menghapuskan kes-kes penipuan melibatkan pakej umrah/ziarah.

“Ketika ini, kementerian masih lagi di peringkat akhir untuk melaksanakan lesen khas umrah ini dan dijangka akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.

“Apabila dilaksanakan kelak, syarikat pengendali umrah/ziarah perlu mendaftar bagi mendapatkan lesen ini. Bagaimanapun, buat masa sekarang mana-mana syarikat sedia ada masih boleh menganjurkan pakej-pakej umrah,” katanya.

Advertisement