Anda di sini

Belia daftar dengan MBS kurang 10% daripada penduduk Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Jumlah belia mendaftar sebagai ahli Majlis Belia Sabah (MBS) kurang 10 peratus daripada penduduk Sabah atau 250,000 belia yang ada di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mahu melihat peningkatan belia sebagai ahli dalam MBS dan meletakkan sasaran 300,000 belia sebagai ahli (10 peratus penduduk Sabah).

Berucap sempena Persidangan Majlis Perunding Belia Negeri Sabah (MPBNS) Siri 2 / 2015 di Magellan Sutera Harbour Resort di sini kelmarin, beliau menggesa majlis itu dan semua 11 anggota gabungannya menjalankan kempen pendaftaran bagi menggalakkan golongan belia di Sabah mendaftar sebagai ahli.

Katanya, majlis itu dan gabungannya perlu melakukan pencarian belia di luar bandar dan juga mereka yang tinggal di kawasan bandar.

“Belia di bandar adalah sangat rapuh kerana mereka terdedah kepada pelbagai aktiviti yang tidak diingini seperti narkotik dan dadah, oleh itu kita perlu mendapatkan mereka yang terlibat (dalam persatuan belia) dan mengelakkan mereka (daripada aktiviti negatif),” katanya.

Tawfiq berkata, sehingga Oktober 2015, sejumlah 465 persatuan belia/organisasi telah mendaftar dengan Pendaftar Belia (ROY).

Beliau menegaskan adalah penting bagi persatuan belia/organisasi untuk mendaftar dengan ROY kerana tanpanya, mereka tidak akan layak untuk sebarang bantuan atau peruntukan untuk golongan belia.

Pada masa yang sama, Tawfiq juga berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membangunkan satu pelan tindakan khas bagi pembangunan belia di Sabah serta membangunkan Dasar Pembangunan Belia Sabah.

Katanya, Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020 yang akan dihasilkan akan diguna untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

“Pandangan golongan muda akan diambil kira dalam dasar pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MBS Nourman Rayn Dr Awang Zaini berkata, majlis itu dan ahli gabungannya akan melaksanakan lebih banyak program untuk belia dan menggesa Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mempertimbang bagi meningkatkan kekerapan program seperti perbincangan dan dialog.

Advertisement