Anda di sini

BALKIS CMD serah sumbangan kepada 16 OKU termasuk ibu tunggal

Advertisement

KOTA KINABALU: Bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan, Badan Amal dan Kebajikan Islam Jabatan Ketua Menteri Sabah (BALKIS CMD) telah memberikan sumbangan kepada 16 penerima yang terdiri daripada golongan kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, sebagai satu badan kebajikan, BALKIS CMD diharap menjadi bukan sahaja bergerak aktif dalam kebajikan tetapi aktif dalam bidang lain seperti upaya pembinaan dan pengembangan ahli.

“Saya yakin dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli BALKIS ini akan menjayakan apa jua cabaran yang ditempuhi.

“Malah, menerusi kegiatan amal badan ini dan interaksi antara sesama ahli secara tidak langsung akan melahirkan rasa persaudaraan dan harmoni berkekalan dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada semua ahli,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra bersama anak-anak yatim sempena sambutan Ma’al Hijrah 1437, di Wisma Innoprise kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pengerusi BALKIS CMD Mohamad Said Hinayat.

Berkenaan majlis ramah mesra itu, Sukarti berkata penganjuran majlis itu membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab sosial BALKIS selaku badan kebajikan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Selain itu, ia menjadi platform untuk mengenang jasa bakti dan sumbangan ahli BALKIS CMD yang menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu organisasi ini untuk melaksanakan pelbagai program sepanjang penglibatan dalam badan kebajikan,” katanya.

Advertisement