Anda di sini

Arahan pindah ketika banjir perlu dipatuhi

Advertisement
 Zaiyun (dua kiri) bersama Radin (tiga kanan), Mulliadi (tiga kiri) dan tetamu menyempurnakan majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Cdert-C Peringkat Negeri Sabah, kelmarin.

SUKARELAWAN: Zaiyun (dua kiri) bersama Radin (tiga kanan), Mulliadi (tiga kiri) dan tetamu menyempurnakan majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Cdert-C Peringkat Negeri Sabah, kelmarin.

Mangsa yang terperangkap dalam banjir adalah mereka yang enggan berpindah: JPAM

KOTA KINABALU: Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diminta patuh pada arahan sekiranya diminta berpindah.

Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Datuk Zaitun Ab Samad berkata, ada dalam kalangan penduduk yang enggan berpindah walau sudah beberapa kali diarahkan pindah kerana banjir.

Menurutnya, selalunya mangsa yang terperangkap dalam banjir adalah mereka yang enggan berpindah.

“Sehubungan itu, dalam menghadapi banjir semasa musim tengkujuh ini, JPAM banyak mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua komuniti seperti ketua kampung.

“Menerusi pertemuan itu, kita dapat berbincang dengan wakil masyarakat dan merayu agar pihak berkenaan dapat mematuhi arahan sekiranya diminta berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Kesiapsiagaan Awam Komuniti (Cdert-C) Peringkat Negeri Sabah di sini kelmarin.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Laur Bandar Datuk Radin Malleh yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Zaitun berkata, pihaknya juga akan mempromosi langkah persediaan yang perlu dibuat oleh penduduk sebelum menghadapi banjir.

“Mereka yang bersiko menghadapi banjir perlu sentiasa menyediakan beg persediaan yang dilengkapi dengan bahan keperluan asas, makanan, minuman serta pakaian.

“Ini kerana, sementara menunggu bantuan tiba, mangsa banjir sudah bersedia dengan beberapa kelengkapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPAM Negeri Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, di Sabah terdapat seramai 2,507 anggota JPAM yang sentiasa bersiap sedia untuk dikerahkan sekiranya berlaku bencana.

Menurutnya, anggota berkenaan akan bertindak bagi tempoh tiga jam pertama untuk kerja menyelamat dan membantu mangsa bencana.

“Secara keseluruhannya, seramai 46,000 rakyat Sabah mendaftar sebagai anggota sukarelawan.

“Selain itu, bagi kawasan Kundasang, kita sedang dalam proses menubuhkan Unit Pertahanan Awam Kundasang.

“Setakat ini, kita dapat mengumpul seramai 48 orang di kawasan itu yang dilatih dengan ilmu pertahanan awam,” jelasnya.

Beliau berkata, selepas mendapat tapak pejabat, pihaknya akan menubuhkan Cdert-C bagi kawasan Kundasang.

Advertisement