KUCHING: Persatuan Golf Sarawak (SGA) memulakan perancangan awal untuk tahun 2016 dengan fokus utama persiapan untuk menganjur Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 yang berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini.
Presiden SGA, Hoan Kee Hock berkata senarai acara untuk kalendar tahun depan telah disediakan namun akan diputuskan sebelum pengumuman rasmi dikeluarkan.
“Kita telah menyediakan senarai aktiviti namun ia masih belum diputuskan,” katanya semasa upacara ‘tee off’ Kejohanan Golf Tertutup Sarawak ke-28 2015 di KGS semalam.
Menurutnya, pertandingan golf SUKMA 2016 merupakan acara utama SGA pada tahun depan memandangkan Sarawak menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu sejak kali terakhir pada 1990.
Menurut beliau, persiapan skuad bayangan golf SUKMA negeri sedang berjalan lancar dengan senarai akhir atlet dijangka diputuskan tiga bulan sebelum temasya itu bermula.
Sementara itu, salah seorang atlet bayangan SUKMA, Aziel Teo antara tiga pencabar utama pada kejohanan tersebut selepas berjaya mengatasi juara bertahan, Lee Ka Tung dari Kelab Golf Sibu (SGC).
Aziel bermain dalam kumpulan sama dengan Lee pada hari pertama dan kembali dengan catatan 73 pukulan untuk terus mencabar bagi merebut Trofi Cabaran YB Tan Sri William Mawan Ikom.
Lee yang merupakan juara edisi 2013 dan 2014 mencatat 76 pukulan.
“Aziel bermain dengan baik dan saya sangat bangga dengan beliau. Saya harap beliau terus tenang dan mengekalkan prestasi cemerlang ini,” ujar Lee yang mengintai kejuaraan ketujuhnya pada tahun ini.
Lee hampir menggondol semua kejohanan besar tempatan kecuali Piala Merdeka Sarawak 2015 yang diadakan di Kelab Golf Sibu pada minggu lepas menyaksikan beliau tewas tipis di tangan rakan sekelab, Lau Chin Leong.
Adik Lee, Lee Kah Ming (KGS) mendahului peserta lain semalam namun bakal dibayangi beberapa pemain lain yang tidak kurang hebatnya seperti Mohd Lokma Mustaffa dan Ling Soon Kiong dari Kelab Golf Bintulu (BGC), Waili Abang dan Johari Aman (KGS).
Penaung kejohanan yang juga Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawam Ikom dijangka turut menyertai kategori jemputan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang hari ini.