Anda di sini

ABFSB, Sibuti Bavarian’s FC kongsi kejuaraan

Advertisement
 Nik Mohammad Asraff menyempurnakan sepak mula perlawanan akhir antara ABFSB dan Sibuti Bavarian’s FC sambil disaksikan oleh Duke (kanan) dan yang lain.

SEPAK MULA: Nik Mohammad Asraff menyempurnakan sepak mula perlawanan akhir antara ABFSB dan Sibuti Bavarian’s FC sambil disaksikan oleh Duke (kanan) dan yang lain.

BINTULU: ABFSB dan Sibuti Bavarian’s FC merangkul kejuaraan bersama Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala Residen Bintulu di Padang Turf Dewan Suarah lewat petang kelmarin.

Kedua-dua pasukan bersetuju berkongsi kejuaraan setelah terikat 1-1 dalam perlawanan akhir kejohanan itu dan penentuan sepakan penalti tidak dapat diadakan berikutan keadaan gelap setelah kedua-dua pasukan bermain dalam tempoh 30 minit berakhir sekitar jam lebih 6.30 petang.

Penentuan sepakan penalti dicadang diadakan pada sebelah pagi juga tidak dapat dilaksanakan berikutan ada antara pemain kedua-dua pasukan mempunyai komitmen lain.

Jurulatih Sibuti Bavarian’s FC, Mohd Hakimi Man berkata para pemain skuad bimbingannya tidak dapat hadir untuk penentuan sepakan penalti apabila dicadang diadakan pagi semalam berikutan sebahagian pemain masih bersekolah perlu kembali ke Miri untuk menduduki peperiksaan pagi semalam.

“Kami rela menduduki naib juara namun kedua-dua pasukan membuat kata putus untuk bersetuju berkongsi kejuaraan tersebut,” katanya semasa menghubungi Utusan Borneo semalam.

Tiada pasukan dinobatkan naib juara dan hadiah wang tunai RM300 untuk naib juara dimasukkan ke dalam hadiah juara (RM500) dengan keseluruhannya menjadi RM800 dibahagi sama rata kepada kedua-dua pasukan.

Justeru itu, dengan kejuaraan itu membolehkan ABFSB dan Sibuti Bavarian’s FC masingmasingnya menerima hadiah wang tunai RM400 serta piala iringan dan pingat termasuk berkongsi piala pusingan Residen Bintulu.

Sebelum itu, dalam perlawanan separuh akhir menyaksikan ABFSB membenam Exbin 2-0 dan Sibuti Bavarian’s FC menundukkan Ensumbar FC 1-0.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menyaksikan Exbin menewaskan Ensumbar FC 1-0.

Tempat ketiga (Exbin) dan keempat (Ensumbar) masingmasingnya turut menerima hadiah wang tunai, piala dan pingat.

Turut hadir menyempurnakan sepak mula dan menyaksikan perlawanan tersebut Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, Nik Mohammad Asraff Nik Mod Kamal dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Presidan Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA), Duke Janteng.

Kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bintulu dan dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu adalah sempena program Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Bintulu 2015.

Advertisement