Anda di sini

Dua mangsa culik selamat

Advertisement

Kerajaan masih giat berunding dengan kumpulan penculik

SEMPORNA: Kedua-dua rakyat Malaysia yang diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei lalu dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan Malaysia masih giat berunding dengan kumpulan penculik yang dipercayai bertanggungjawab.

“Yang penting usaha (rundingan) dijalankan, bagaimanapun kita tidak boleh beritahu (dengan lebih terperinci) kerana tidak mahu mengancam keselamatan kedua-dua mangsa culik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan terbaharu pengurus restoran Thien Nyuk Fun, 49, dan pelancong dari Sarawak Bernard Then, 39.

Ketika ditanya sekiranya kumpulan penculik terlibat ada membuat panggilan ataupun tuntutan terbaharu pula, beliau sekali lagi menegaskan bahawa hal itu perlu dirahsiakan.

“Yang penting berdasarkan maklumat yang kita terima, kedua-dua mangsa selamat dan ESSCom sedang menjalankan langkah-langkah perlu untuk mendapatkan kedua-dua mangsa kembali,” katanya.

Mengulas hal berasingan, Nur Jazlan menuntut rakyat Malaysia khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) supaya meningkatkan lagi kesetiaan kepada negara ini.

“Kalau mahu tinggal di negara ini dan masih mahu menjadi rakyat Malaysia, setialah kepada kerajaan kita,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tempatan diharap tidak melindungi atau bersekongkol dengan warga asing yang hendak mengganggu-gugat keamanan negara walaupun mungkin mereka bersaudara.

Menurutnya, pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk mengukuhkan keselamatan di ESSZone sekali gus menunjukkan keseriusan Perdana Menteri ke atas kawasan terlibat.

“Kawasan ESSZone mempunyai potensi pelancongan yang cukup tinggi dan ramai rakyat asing yang hendak datang namun mereka memerlukan jaminan keselamatan.

“Jika mereka (pelancong asing) yakin dengan keadaan keselamatan di negara ini, mereka tidak akan takut untuk datang ke sini,” katanya.

Advertisement