Anda di sini

Tandatangani dokumen acara utama

Advertisement

Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu

 Masidi (kanan) berkesempatan berbual dengan ahli jawatankuasa penganjur mengenai Sambutan Perayaan Hari Malaysia selepas sidang media.

TEPATI CITA RASA: Masidi (kanan) berkesempatan berbual dengan ahli jawatankuasa penganjur mengenai Sambutan Perayaan Hari Malaysia selepas sidang media.

KOTA KINABALU: Upacara menandatangani dokumen memperingati penubuhan Malaysia bakal menjadi acara utama Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Padang Merdeka di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan menandatangani dokumen berkenaan pada majlis itu nanti.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, acara itu dianggap penting kerana ia membuktikan ikatan setiakawan dan perpaduan di tiga wilayah.

Selain itu katanya, ia juga akan disimpan sebagai sebahagian daripada sejarah Malaysia pada masa akan datang.

“Dokumen yang ditandatangani ini adalah catatan untuk memperingati penubuhan Malaysia.

“Adalah penting untuk kita sentiasa memperingatkan semua bahawa Semenanjung, Sabah dan Sarawak membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Ia hanyalah dokumen untuk memperingati pembentukan Malaysia dan tidak ada isu berkaitan sebarang perjanjian baharu dibangkitkan,” jelasnya.

Beliau yang juga pengerusi bersama jawatankuasa pelaksana sambutan berkenaan berkata demikian pada sidang media di sini kelmarin.

Masidi berkata, dokumen berkenaan akan disimpan di arkib untuk menjadi tatapan dan rujukan generasi akan datang.

Menurutnya, lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir untuk sama-sama meraikan Hari Malaysia yang akan diadakan pada malam 16 September ini.

“Tahun ini, sambutannya diadakan lebih sebagai acara yang mempamerkan dan membuktikan semangat patriotisme kepada negara.

“Persembahan yang dibuat juga adalah adunan antara moden dan tradisional yang akan menggabungkan orang lama dan belia.

“Ini kerana kita mahu persembahan yang dibuat pada malam itu menepati cita rasa semua peringkat umur,” katanya.

Advertisement