Anda di sini

Misi kembali ke era kegemilangan

Advertisement

Rajagobal janji berikan yang terbaik, tuntut sokongan padu sebagai Ketua Jurulatih baharu Sarawak

Oleh Harry Ilias //

 Sudarsono (tiga kiri) memperkenalkan Rajagobal pada sidang media bersama (dari kanan) Razali, Abu Bakar, Julaihi dan Raymond.

TUGAS BESAR: Sudarsono (tiga kiri) memperkenalkan Rajagobal pada sidang media bersama (dari kanan) Razali, Abu Bakar, Julaihi dan Raymond.

KUCHING: Ketua Jurulatih baharu Sarawak, Datuk K Rajagobal berjanji memberikan yang terbaik untuk membawa skuad itu kembali ke era kegemilangan seperti yang pernah dilakar sebelum ini.

Namun, bekas jurulatih skuad negara itu menegaskan misi itu tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata sambil menuntut sokongan padu daripada semua pihak.

“Saya bukan datang untuk membuat keajaiban tapi akan cuba lakukan yang terbaik untuk membawa Sarawak kembali ke tahap yang disegani dan dihormati di masa akan datang,” ujar Rajagobal pada sidang media pelantikan beliau semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) khususnya Presiden, Datu Sudarsono Osman kerana memberi beliau kepercayaan dan peluang untuk membimbing skuad Bujang Senang.

“Saya akan bekerjasama dengan FAS untuk membawa Sarawak kembali ke landasan yang baik tapi bukan secara serta-merta. Jurulatih Sarawak sebelum ini (Alan Vest) juga mengambil masa untuk membentuk semula sebuah pasukan yang mantap,” tambah beliau.

Pelantikan Rajagobal menjawab semua teka-teki mengenai calon jurulatih yang akan membimbing skuad Sarawak bagi musim 2016.

Rajagobal pernah membimbing skuad negara dari tahun 2009 hingga 2013 selepas menjadi jurulatih skuad Selangor, Sabah, PKNS dan Kelantan.

Pencapaian terbaik jurulatih berusia 59 tahun itu adalah ketika membantu skuad negara menggondol pingat emas pada Sukan Asia Tenggara 2009 di Vientiane, Laos.

Sementara itu, Sudarsono ketika mengumumkan pelantikan Rajagobal semalam berkata jurulatih itu hanya akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Disember 2015.

Tambah beliau, Penolong Jurulatih David Usop akan mengendalikan skuad Sarawak bagi menghadapi saingan Piala Malaysia 2015 yang akan bermula Sabtu ini.

“FAS berharap Datuk K Rajagobal dapat membantu membentuk pasukan Sarawak yang mampu bersaing dalam Liga Super 2016 di samping mengenal pasti pemain-pemain muda yang dapat diserap dalam pasukan senior.

“Walaupun Rajagobal jurulatih tempatan namun beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa,” tambah Sudarsono.

Hadir sama Timbalan Presiden FAS Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi, Naib Presiden Razali Dolhan dan Pengarah Urusan LEA Holdings Raymond Sim.

Advertisement