Anda di sini

440 murid terima bantuan beg dan alat tulis

Advertisement

SANDAKAN: Seramai 440 murid dari lima sekolah rendah telah menerima sumbangan beg sekolah dan alat tulis menerusi Program Minda Ceria, Ilmu Meningkat oleh BN Parlimen Sandakan pada Isnin lepas.

Ia termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) St Monica, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Syn Hua, SRJK(C) Pui Gin serta SK Sungai Anib 1 dan 2.

Penyelaras BN Parlimen Sandakan Senator Datuk Chin Su Phin berkata, program itu bertujuan membantu murid-murid yang datang dari keluarga kurang berkemampuan untuk menikmati bantuan beg dan alat tulis daripada kerajaan.

Katanya, bantuan itu secara tidak langsung akan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha dalam meningkatkan prestasi akademik mereka.

“Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan taraf pendidikan di negara ini. Berikutan itu, pelbagai bantuan disalurkan dan bidang pendidikan menjadi keutamaan dalam setiap pembentangan bajet negara.

“Pendidikan yang bertaraf dunia telah disediakan oleh pihak kerajaan dengan matlamat melahirkan potensi individU yang berketerampilan dan memenuhi aspirasi negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Dalam pada itu, Chin berbangga dengan pencapaian SK St Monica yang merupakan satu-satunya sekolah di daerah ini yang mendapat pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Sekolah berkenaan telah menerima banyak anugerah kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum jelas menunjukkan sekolah itu berada di landasan yang tepat dalam memartabatkan pendidikan seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Advertisement