Anda di sini

UPP Kelantan rampas 8,720kg tembakau bernilai hampir RM400,000

Advertisement

KOTA BAHARU: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 8,720 kilogram tembakau bernilai hampir RM400,000, yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, dalam satu serbuan di Pasir Mas awal pagi semalam.

Komandernya Rusli Karim berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 2 pagi di sebuah stor di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas.

“Serbuan dilakukan selepas intipan selama seminggu. Hasilnya kami menemui 436 ‘bale’ atau berkas tembakau yang dipercayai diseludup dari Thailand melalui beberapa pangkalan haram di sepanjang sungai di sempadan Malaysia- Thailand di jajahan itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UPP Kelantan di sini, semalam.

Rusli berkata siasatan mendapati stor yang berada di tempat tersorok itu dijadikan transit tembakau seludup sebelum dipindahkan ke kilang rokok di kawasan pantai barat.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak awal tahun dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk mengangkut tembakau sedikit demi sedikit sebelum dihantar ke stor untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata tiada suspek yang ditahan kerana anggota sindiket penyeludupan itu berjaya melarikan diri selepas mengesan kehadiran UPP.

“Tetapi kami telah mengenalpasti sindiket yang terlibat dan tindakan susulan akan dilakukan. Kami juga percaya dengan rampasan yang besar ini menyebabkan rangkaian penyeludupan ini tempang,” katanya.

Katanya aktiviti penyeludupan tembakau yang didalangi rangkaian penyeludupan di Thailand dan Kelantan itu bertujuan mengelak daripada dikenakan cukai.

Rampasan terbabit adalah rampasan tembakau pertama tahun ini dan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun, katanya.

Rusli berkata kesemua hasil rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) untuk tindakan di bawah Seksyen 51 Akta LKTN dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. — Bernama

Advertisement