Anda di sini

Tidak tahu, GST, ekonomi gawat antara alasan majikan tidak daftar PERKESO

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tidak tahu, sikap ambil mudah, ekonomi gawat dan pelaksanaan cukai baharu merupakan antara alasan majikan tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut PERKESO, berdasarkan statistik, setiap tahun masih lagi terdapat majikan yang ingkar untuk membuat caruman PERKESO dengan memberikan pelbagai alasan.

“Selain alasan tidak tahu dan sikap ambil mudah, kegawatan ekonomi, kenaikan harga barangan serta polisi kerajaan seperti kenaikan cukai/GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) juga menjadi alasan majikan enggan untuk mencarum dengan PERKESO.

“Alasan inilah yang sering diungkap oleh majikan apabila dikesan oleh PERKESO gagal mencarum serta mendaftarkan perusahaan dan pekerjanya,” kata PERKESO dalam kenyataan di sini semalam.

Berdasarkan statistik, semenjak 2009 sebanyak 13,000 kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja melalui Op Kesan.

Pada tahun ini sehingga Julai lalu sahaja, sebanyak 1,120 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan yang sama.

Oleh itu menurut kenyataan tersebut, ini memberi satu cabaran kepada PERKESO dalam mendidik majikan dan pekerja untuk bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab sosial selaras dengan keperluan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 secara amnya.

Justeru, PERKESO sekali lagi mengambil inisiatif dengan melancarkan Ops Kesan 2015 terhadap majikan-majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan bermula 1 Sept ini selama sebulan.

Operasi ini merupakan aktiviti penguatkuasaan secara pintu ke pintu yang akan melibatkan 47 pejabat PERKESO di seluruh negara melibatkan kira-kira 350 penguat kuasa.

Bagaimanapun sebelum Ops Kesan ini dijalankan, satu tempoh pemutihan telah diberi kepada majikan yang masih tidak mendaftar bermula 12 Ogos lalu sehingga 31 Ogos ini.

“Mana-mana majikan yang mendaftar dalam tempoh pemutihan tersebut walaupun terdapat kelewatan dari tarikh kelayakan akan dikecualikan daripada dikenakan kompaun.

“Ini menunjukkan PERKESO masih lagi memberi peluang kepada majikan untuk mendaftar secara sukarela sekali gus mendidik majikan untuk menjaga kebajikan pekerjanya mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” menurut kenyataan itu.

PERKESO turut memberi amaran jika majikan masih tegar untuk mendaftar dan dikesan semasa Op Kesan dijalankan, PERKESO tidak akan berkompromi dan majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 4 iaitu gagal mendaftar perusahaan dan Seksyen 5 iaitu gagal mendaftar pekerja sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Sekiranya majikan didakwa dan disabitkan dengan kesalahan tersebut, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya. — Bernama

Advertisement