Anda di sini

Tiada telur palsu dalam pasaran tempatan

Advertisement

Mustahil untuk buat telur palsu kerana kos agak mahal selain perlukan teknologi canggih

PUTRAJAYA: Telur palsu tidak wujud dalam pasaran tempatan sebagaimana yang tersebar di media sosial, kata Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia Jeffrey Ng Choon Ngee.

Beliau yang menafikan kewujudan telur palsu dalam pasaran berkata adalah mustahil untuk mana-mana pihak membuat telur palsu kerana ia melibatkan kos yang agak mahal selain teknologi canggih terutama untuk menghasilkan membran telur.

Mengulas kebimbangan pengguna tentang kewujudan telur palsu seperti yang tersebar di media sosial, Ng menjelaskan untuk menghasilkan membran iaitu selaput putih pada sebiji telur sahaja akan melibatkan kos sekitar 30 sen.

“Secara kasar untuk cipta sebiji sahaja telur, kos mungkin dalam RM1, maka kalau dah mahal macam itu nak jual untuk sebiji telur berapa pula?” katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri sidang media mengenai Ekspo Ternakan Asia 2015 di sini semalam.

Penyebaran berita tentang telur palsu itu turut disertakan dengan beberapa keping gambar yang antara lain berkaitan dengan warna serta corak bahan makanan itu.

Mengenai corak serta warna telur, Ng berkata ia boleh berbeza mengikut cara penyimpanan.

“Kalau simpan dalam peti sejuk kuning telur boleh menjadi bulat apabila dipecahkan, berbeza dengan kalau simpan pada suhu bilik,” jelasnya.

Ng berkata pihaknya juga telah membuat semakan dengan pihak berkaitan penternakan di China dan mendapati bahawa telur palsu juga tiada di negara itu.

Sebaliknya beliau berkata yang ada hanyalah bahan seperti telur tetapi dalam bentuk serbuk yang dicipta oleh pihak tertentu untuk keperluan diri sendiri.

Ekspo Ternakan Asia 2015 itu akan berlangsung pada 21-23 Sept di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kira-kira 300 pempamer daripada 32 negara antaranya United Kingdom; Amerika Syarikat; Taiwan dan Thailand telah mengesahkan penyertaan. — Bernama

Advertisement