Anda di sini

Polis Indonesia tahan tiga warga Malaysia dipercayai bawa ganja

Advertisement

JAKARTA: Polis menahan tiga warga Malaysia dan merampas bungkusan kertas yang mengandungi ganja ketika mereka hendak memasuki Pulau Sebatik di Kalimantan Utara kelmarin.

Menurut laporan media tempatan, mereka ditahan di Pos Pelabuhan Sei Nyamuk, Pulau Sebatik ketika baharu tiba dari Tawau, Sabah petang kelmarin.

Ketua Polis Sei Nyamuk, Iptu Oman dipetik sebagai berkata pada mulanya, polis memeriksa dokumen penumpang feri dari Malaysia di Pelabuhan Sei Nyamuk dan mendapati tiga rakyat Malaysia itu tidak menggunakan pasport untuk memasuki Pulau Sebatik di Indonesia.

Seorang daripada mereka merupakan penjawat awam sebuah jabatan persekutuan manakala dua lagi ialah pengurus sebuah syarikat perladangan dan ahli perniagaan.

Hasil siasatan mendapat mereka berasal dari Sandakan, Sabah dan ketika dibawa untuk siasatan di balai polis Nunukan, seorang daripada mereka secara tergesa-gesa telah membuang sebuah bungkusan kertas.

“Setelah membuat pemeriksaan, bungkusan surat khabar itu didapati mengandungi ganja dan hasil soal siasat, mereka mengakui akan menyertai satu pesta dadah bersama rakan lain di pulau berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah atau berat ganja itu belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Indonesia mengamalkan hukuman penjara atau denda atau mati mandatori bagi kesalahan pengedaran dadah di negara itu. — Bernama

Advertisement