Anda di sini

Pengambilan TLDM: Syarat kepujian bahasa Malaysia SPM perlu kelonggaran

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC memohon kepada Kementerian Pertahanan supaya menimbangkan kelonggaran syarat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada tahap Lulus, untuk sesi pengambilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa akan datang.

Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh berkata langkah itu akan mendorong lebih banyak golongan muda kaum India menyertai TLDM memandangkan ramai yang berminat menganggotai pasukan keselamatan itu, tetapi kebanyakan mereka hanya memperoleh keputusan Lulus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.

“Kementerian Pertahanan perlu melonggarkan syarat kelayakan akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia bagi membolehkan lebih ramai belia yang berminat dapat menyertai TLDM.

“… sebab kebanyakan mereka tidak mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia, kalau boleh Pemuda MIC berharap ia boleh disesuaikan sedikit kepada Lulus bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam TLDM,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Asisten Ketua Staf Pengurusan Strategik TLDM Laksamana Pertama Ganesh Navaratnam di ibu pejabat MIC di sini, bagi membincangkan kaedah serta cara bagi meningkatkan penglibatan golongan muda kaum India dalam TLDM.

Sivarraajh berkata Pemuda MIC dengan kerjasama pihak pengurusan TLDM, merancang untuk mengadakan hari terbuka di pangkalan-pangkalan TLDM supaya golongan muda dapat melihat sendiri kerjaya itu sebagai motivasi.

Hari terbuka itu juga akan memberi pendedahan dan persediaan kepada calon supaya dapat melepasi tahap kelayakan yang ditetapkan seperti tahap kesihatan serta peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan TLDM.

Sementara itu, Ganesh Navaratnam berkata jumlah keseluruhan kaum India dalam TLDM bagi jawatan pegawai adalah sebanyak 59 daripada 2,338 orang, manakala lain-lain pangkat adalah seramai 185 daripada 15,208 anggota.

“Kami (TLDM) menyasarkan jumlah keanggotaan daripada masyarakat India akan meningkat kepada lima peratus pada pengambilan akan datang, serta dapat menghakis persepsi negatif golongan muda yang tidak berminat untuk mempertahankan negara,” katanya. — Bernama

Advertisement