KENINGAU: Kesalingan antara kepimpinan bawahan dan atasan UMNO penting dalam memastikan setiap pemimpin sedar akan tanggunggjawab masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pemimpin di setiap peringkat mempunyai peranan tertentu yang diamanahkan dalam memastikan kemahuan dan permintaan rakyat dipenuhi.
“Mesti tahu kedudukan masing-masing. Perlu meletakkan diri di tempat masing- masing agar tidak berlaku pergolakan.
“Kalau saya orang nombor dua (sebagai timbalan perdana menteri), saya juga mesti tahu tugas saya sebagai orang nombor dua.
Saya tak boleh menebuk kapal (kerajaan) kerana saya mahu nakhoda (perdana menteri) saya belayar dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan serentak mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Keningau dan Bahagian Pensiangan di sini semalam.
Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin di setiap peringkat bahawa jawatan bersifat sementara dan kesempatan yang diberikan harus dilaksanakan dengan penuh tanggunggjawab.
“Kita perlu ingat tanggungjawab kita sebagai ketua cawangan atau ketua bahagian atau pemimpin tertinggi dalam parti terhadap rakyat akar umbi agar UMNO terus beri khidmat kepada rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid juga berikrar untuk menjadi jambatan dalam mencari penyelesaian terhadap apa juga permasalahan yang dihadapi oleh UMNO Sabah.
Beliau berkata perbezaan pendapat dalam parti merupakan perkara biasa, tetapi perlu diselesaikan agar tidak berpanjangan sehingga boleh menyebabkan Sabah jatuh ke tangan pembangkang.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta masing-masing untuk pembangunan di Putatan, Keningau dan Pensiangan sebagai menghargai kerja keras wakil rakyat di kawasan berkenaan yang sentiasa turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Keningau Datuk Sairin Karno yakin pucuk pimpinan UMNO yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menangkis serangan dan tohmahan jahat terhadap parti itu.
“Meskipun UMNO sedang menghadapi beberapa isu, tetapi saya yakin pucuk pimpinan dapat menangani isu berkenaan, “ katanya dalam ucapannya pada majlis itu.
Katanya, cabaran yang dihadapi UMNO pada ketika ini merupakan ruang dan peluang untuk semua anggota parti mengambil iktibar dan bermuhasabah demi perjuangan parti.
Pada masa sama, Sairin berkata UMNO Keningau akan terus memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai presiden parti dan akan menyokong pencalonan Ahmad Zahid bagi bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.
Dalam pada itu, Sairin turut mengemukakan cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk menimbangkan pembinaan sebuah terowong sebagai jalan alternatif dari Apin-Apin di Keningau ke Tambunan, Putatan dan Tuaran. — Bernama