Anda di sini

Sumbangan korporat bantu ringan beban penduduk Ranau

Advertisement

KOTA KINABALU: Sumbangan daripada syarikat korporat ke arah membantu masyarakat yang ditimpa bencana dilihat langkah yang baik bagi membantu Kerajaan Negeri meringankan beban yang ditanggung masyarakat terjejas bencana.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sumbangan korporat amat diperlukan bagi membantu masyarakat yang terjejas banjir lumpur di daerah Ranau.

Katanya, bekalan air bersih ke kampung berdekatan terjejas akibat banjir lumpur yang kerap berlaku sejak gempa bumi melanda Ranau pada 5 Jun lalu.

“Setiap kali banjir lumpur berlaku, kesannya sehingga Sungai Labuk, Beluran serta mana-mana kawasan terjejas akibat gempa.

“Dengan adanya bantuan daripada syarikat korporat seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) itu, ia akan membantu meringankan beban Kerajaan Negeri dan penduduk Ranau.

“Ini kerana impak gempa bumi itu dapat dirasai sehingga sekarang iaitu dalam menangani masalah banjir lumpur yang menyekat pengaliran air dari loji air,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Bencana Alam Ranau yang diberikan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), di Pejabat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, penyampaian sumbangan itu adalah tanda keprihatinan mereka dalam membantu masyarakat Ranau yang terjejas disebabkan gempa bumi yang berlaku.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mendekati dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat Ranau. Kami berharap sumbangan yang diberikan ini dapat membantu mengurangkan kesulitan serta membina semula kehidupan seharian mereka secepat mungkin,” katanya.

Selain itu, CGC juga akan menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Hari Malaysia pada 16 September ini dengan memberi sumbangan kepada badan amal yang akan dikenal pasti kelak.

Beliau berkata, CGC ditubuhkan 43 tahun lalu semasa pemerintahan Tun Abd Razak, syarikat pinjaman berkenaan menyediakan RM56 bilion bagi membantu lebih 430, 000 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negara.

Katanya, walau berdepan dengan krisis kewangan yang sama seperti tahun 1997/1998, CGC akan terus membantu pengusaha PKS bagi memulakan serta mengembangkan perniagaan mereka.

CGS menawarkan Skim Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i yang menyediakan skim pembiayaan kontrak bagi memenuhi keperluan pengusaha PKS Bumiputera.

Manakala, melalui Skim Pembiayaan BizMula-i menyediakan pembiayaan sehingga RM300, 000 kepada pengusaha PKS yang beroperasi kurang daripada tiga tahun.

Usaha melaksanakan CSR akan diteruskan di Sabah melalui Program Klinik Usahawan.

 

 

Advertisement