Anda di sini

KPDNKK siasat stesen minyak tutup awal operasi

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebuah stesen minyak di Jalan Inanam yang beroperasi 24 jam disiasat selepas didapati sengaja menutup awal operasinya sehingga menjejaskan keperluan pengguna.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Yahya Sujak berkata, stesen itu dikesan menutup operasinya kira-kira jam 10 malam kelmarin dengan meletakkan kon pada setiap pam minyak yang terdapat di premis berkenaan.

Katanya, kegiatan stesen itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai.

“Hasil pemeriksaan ke atas stesen berkenaan mendapati premis yang sepatutnya beroperasi 24 jam itu masih mempunyai bekalan minyak mencukupi.

“Kita tidak tahu atas alasan apa mereka tutup awal dan kita akan siasat perkara ini. Namun, sebarang keputusan untuk menutup premis perlu dimaklumkan kepada pihak kementerian.

“Hasil pemeriksaan pegawai kita mendapati stesen itu merupakan stesen 24 jam dan bekalan minyak mereka juga masih ada,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata semua stesen minyak sepatutnya membuka operasi seperti biasa termasuklah stesen 24 jam selain menjamin bekalan minyak sentiasa mencukupi.

“Kita akan menyiasat punca sebenar kejadian itu berdasarkan Akta Kawalan 1991.

“Mengikut akta ini, mana-mana orang-perseorangan yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM1 juta dan penjara tidak lebih dari tiga tahun manakala bagi stesen yang diusahakan oleh syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahya memaklumkan sebanyak 44 beg tangan wanita tiruan jenama popular dan 10 helai pakaian tiruan dirampas dari sebuah kedai di kompleks beli-belah di ibu negeri, dalam satu operasi kelmarin.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,000 dan kes disiasat berdasarkan Seksyen 5 (1) (b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya.

 

 

 

Advertisement